0htehtarik - sumber rujukan percuma dan terkini

Hentikan

| Rabu, 6 Februari 2013

"HENTIKAN membuat spekulasi berhubung pemain muda negara, Muhammad Nazmi Faiz Mansor."
Demikian titah Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah semalam yang meminta agar semua pihak tidak membuat sebarang spekulasi berhubung pemain muda negara itu yang kini menyertai Selangor PKNS.
 
Tengku Abdullah bertitah, baginda bagaimanapun mengakui terkejut dengan keputusan Nazmi meninggalkan kelab S.C. Beira–Mar dalam Liga Divisyen Satu Portugal untuk kembali bermain dalam liga bola sepak tempatan.
 
Begitupun, baginda berharap agar Nazmi dapat mengembalikan keyakinan diri dan bermain dengan sebaik mungkin.
Tambah baginda, Nazmi juga wajar membuat pertimbangan sekiranya diberi tawaran baharu untuk beraksi dengan mana-mana kelab bola sepak dari luar negara pada masa akan datang.
"Saya masih belum berkesempatan berjumpa dengan dia (Nazmi). Saya berharap, jangan kita cepat kritik dia kerana ia boleh menyebabkan dia cepat putus asa.
 
"Jika ada tawaran lagi untuk bermain di luar negara, harapan saya supaya dia dapat membuat pertimbangan kerana usianya masih muda," titah baginda kepada pemberita di Rompin, Pahang semalam.
Baginda bertitah demikian ketika ditanya mengenai isu Nazmi yang membuat keputusan menamatkan kontrak lebih awal dengan Beira–Mar dan kembali semula ke tanah air untuk beraksi dengan Selangor PKNS dalam Liga Super.
 
Dalam pada itu, Tengku Abdullah turut menasihati para pemain muda yang ditawarkan beraksi di kelab luar negara supaya mengambil peluang keemasan tersebut selain membuat keputusan secara lebih matang.
"Kalau dapat tawaran seperti itu, jangan ada perasaan takut hendak meninggalkan rumah dan keluarga. Kalau tolak tawaran, para pemain sukar mendapat pengalaman berharga bermain dengan kelab luar negara.
"Peluang bermain dengan kelab-kelab di luar negara adalah suatu pengiktirafan dan ia harus diambil bagi membuktikan kemampuan mereka," titah baginda.
Ketika ditanya mengenai kemungkinan kesan yang boleh menjejaskan kesediaan para pemain muda tempatan untuk beraksi di luar negara akibat tindakan Nazmi meninggalkan Beira–Mar, baginda menjelaskan: "Ia perkara terpencil. Mereka (para pemain muda) tidak perlu risau dan sewajarnya berfikir secara mendalam sekiranya menerima tawaran daripada mana-mana kelab luar negara."

0 komen:

Catat Ulasan