KUALA LUMPUR 4 Feb. - Konsert mega solo pertama Anuar Zain, Anuar "Zain Tiga Dekad Muzik, Cinta dan Sanubari" akan bertukar ke lokasi baharu iaitu di Stadium Melawati, Shah Alam, Selangor.
Sebelum ini konsert berskala besar penyanyi tersebut dijadualkan berlangsung pada pukul 8.30 malam, 16 Februari ini di Stadium Putra Bukit Jalil, Kuala Lumpur.
Menurut Anuar, peralihan lokasi dibuat bagi memberi peluang kepada penganjuran majlis lain yang akan dilakukan pada keesokan harinya di stadium berkenaan.
"Saya tidak ada masalah dengan pertukaran lokasi ini kerana Stadium Malawati juga mempunyai kelebihan buat peminat yang hadir.
"Di lokasi baru ini, saya merasakan ia lebih dekat dengan dengan peminat yang hadir dan saya merasakan ia sesuatu yang bagus," katanya pada sidang akhbar mengenai konsertnya, di sini hari ini.
Tambah Anuar, peminat yang sudah membeli tiket tidak perlu khuatir kerana mereka akan diberitahu melalui telefon mengenai pertukaran lokasi konsert ini.
"Pada enam hingga lapan Februari, Ticketcharge akan menghubungi peminat untuk beritahu tentang pertukaran lokasi tempat duduk mereka," katanya.
Jelas Anuar lagi, kaunter masuk juga akan ditambah bagi memudahkan peminat masuk ke stadium.
0 komen:
Catat Ulasan