0htehtarik - sumber rujukan percuma dan terkini

Pakaian tradisional wanita Palestin

| Isnin, 4 Februari 2013

DARI segi sejarah, Palestin merupakan sebuah kawasan unik kerana terletak di kawasan yang mempunyai pengaruh dari tamadun-tamadun besar dunia seperti Tamadun Mesir dan Tamadun Yunani sejak dari zaman sebelum Masihi. Ia juga istimewa kerana mempunyai lapisan sejarah yang panjang dan budaya serta kesenian yang menarik kesan dari pertembungan pelbagai pengaruh pemerintah yang pernah memerintah di wilayah ini seperti Mesir, Yunani, Parsi, Uthmaniyah dan British.
 
Salah satu barangan kesenian Palestin yang menjadi tarikan pengembara dahulu dan pengkaji tekstil pada hari ini ialah pakaian. Para pengembara yang sampai ke Palestin pada abad ke-19 Masihi merekodkan bahawa Palestin merupakan sebuah wilayah yang mempunyai kepelbagaian budaya dan pakaian yang indah dan berwarna-warni.
 
Secara tradisinya terdapat tiga jenis kumpulan masyarakat di dalam wilayah Palestin, masyarakat Badwi, masyarakat kampung dan masyarakat bandar. Ketiga-tiga kumpulan masyarakat ini mempunyai gaya pakaian tradisionalnya yang tersendiri namun pakaian wanita kampung dikatakan lebih mempunyai ciri-ciri tradisional berbanding wanita di bandar. Pakaian tradisional wanita Palestin lebih pelbagai berbanding pakaian lelaki.
Pakaian juga merupakan identiti kepada kaum minoriti yang diwakili, taraf sosial seseorang di dalam masyarakat dan juga status seseorang wanita sama ada beliau telah berkahwin ataupun tidak.
Ini dapat dilihat melalui jenis pakaian, potongan pakaian, warna dan sulaman yang digunakan. Kebanyakan pakaian yang dipakai pada waktu itu dihiasi dan dipenuhi dengan sulaman.
Kerja-kerja menyulam merupakan satu kemahiran yang diperturunkan dari satu generasi wanita ke generasi wanita seterusnya di dalam sesebuah keluarga.
 
Dua jenis sulaman utama yang digunakan oleh kebanyakan wanita di atas pakaian tradisional wanita Palestin ialah jahitan silang pangkah dan sulaman benang berwarna-warni dan benang emas yang mengguna empulur supaya timbul, ia menyerupai sulaman tekat di negara kita.
Golongan wanita diajarkan kemahiran menyulam kerana mereka perlu menyulam kelengkapan perkahwinan mereka yang terdiri daripada seluar, baju panjang, jaket, tudung dan anak tudung.
Pakaian wanita tidak lengkap tanpa barang perhiasan. Barangan perhiasan yang digunakan oleh golongan wanita membezakan mereka sama ada mereka wanita badwi, wanita kampung ataupun bandar.
 
Antara barangan kemas yang sering digayakan bersama pakaian tradisional ialah perhiasan kepala, anting-anting, rantai leher dan gelang tangan. Barang-barang kemas ini terdiri daripada batu separa berharga, manik dan logam berharga seperti perak dan emas seperti yang digunakan di wilayah Arab yang lain.
Palestin juga mempunyai beberapa pusat pengeluaran kain seperti di Ramallah dan Jerusalem. Namun bagi kaum wanita Badwi, mereka menenun sendiri kain untuk dijadikan pakaian daripada bulu biri-biri, kambing dan unta.
 
Ia merupakan salah satu pekerjaan wanita badwi yang tinggal di kawasan gurun di Palestin seperti Gurun Negev yang didiami oleh kaum badwi Abu Jwayd.
Namun, selepas pencerobohan dan kekejaman tentera Zionis, keindahan kesenian pakaian tradisional ini seakan-akan hilang dari pengetahuan orang ramai. Berbagai-bagai pihak berusaha untuk mengumpulkan khazanah warisan palestin ini termasuklah Muzium Kesenian Islam Malaysia.
Di muzium ini terdapat sebuah garis masa yang dibuat khas bagi menunjukkan sejarah dan budaya Palestin semenjak dari zaman awal Masihi sehingga tahun 1948

0 komen:

Catat Ulasan