Putrajaya: Wisma Putra menggesa Filipina mengambil tindakan tegas terhadap Jamalul Kiram III ekoran tindakannya mengeluarkan banyak kenyataan berunsur menghasut sehingga menimbulkan kebencian dan keganasan.
Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman, berkata Malaysia menganggap kumpulan diketuai Kiram yang mendakwa dirinya sebagai Sultan Sulu itu adalah pengganas.
Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman, berkata Malaysia menganggap kumpulan diketuai Kiram yang mendakwa dirinya sebagai Sultan Sulu itu adalah pengganas.
"Ini berikutan kekejaman dan keganasan mereka membunuh anggota keselamatan negara termasuk dua di Lahad Datu dan enam di Semporna. Malah Setiausaha Hal Ehwal Luar Filipina, Albert F Del Rosario bersetuju bahawa kumpulan ini perlu dilabel sebagai pengganas.
"Malaysia juga memerlukan penjelasan mengenai undang-undang yang akan diguna pakai untuk mendakwa pengganas ini di Filipina supaya ia dapat dikaji oleh Jabatan Peguam Negara Malaysia," katanya dalam kenyataan semalam.
Anifah mengadakan pertemuan dengan Rosario di Kuala Lumpur malam kelmarin membincangkan perkembangan di Lahad Datu dan Semporna.
Jaminan kerajaan Filipina
Beliau berkata, Rosario memberi jaminan Kerajaan Filipina akan mendakwa kumpulan Sulu yang terbabit dalam insiden di Lahad Datu dan Semporna itu bagi mengenakan hukuman maksimum berdasarkan undang-undang sedia ada.
Anifah berkata, dalam pertemuan berkenaan beliau menyatakan Malaysia menghargai pendirian Kerajaan Filipina dan Presiden Benigno Aquino yang menggesa kumpulan pengganas terbabit kembali ke tanah air mereka, walaupun ia tidak diendahkan.
"Kita menyatakan kita juga mencuba yang terbaik untuk memujuk mereka meninggalkan Lahad Datu dan menawarkan penyelesaian damai tanpa pertumpahan darah," katanya.
Seluruh negara berkabung
Malaysia kata Anifah, juga memahami kedudukan Filipina untuk menyelesaikan tindakan kumpulan itu yang mencabar kedaulatan, integriti wilayah dan maruah negara.
"Saya memaklumkan kita (Malaysia) mempunyai tanggungjawab untuk melindungi kepentingan, keselamatan dan keamanan yang kita nikmati sejak merdeka.
"Seluruh negara masih berkabung dengan kehilangan lapan anggota keselamatan dalam insiden ini. Operasi pasukan keselamatan Malaysia masih berjalan dan rakyat negara ini mahu perkara berkenaan tamat secepat mungkin," katanya.
0 komen:
Catat Ulasan