LAHAD DATU - Seorang penduduk, Ajmain Mahmood tidak akan melupakan detik-detik menjadi tawanan kumpulan pengganas selepas kampungnya di Kampung Tanjung Batu di sini diceroboh pada 11 Mac lalu.
Kejadian itu berlaku pada pukul 9 pagi ketika dia bersama beberapa penduduk tiba-tiba dijadikan tawanan oleh sekumpulan 50 pengganas yang dipercayai menyelinap masuk dari Kampung Tanduo.
Menurut Ajmain, 35, seorang lelaki dipercayai ketua kumpulan itu tiba-tiba datang ke arahnya yang ketika itu duduk di barisan depan bersama kira-kira 60 penduduk lain sebelum dirinya ditampar dua kali dan pengganas itu kemudian mengacukan parang untuk menyembelih lehernya.
"Pengganas itu mengesyaki saya merupakan individu yang melaporkan kemasukan penceroboh ke Kampung Tanduo kepada pihak berkuasa," kata Ajmain ketika ditemui di Fajar Harapan di sini semalam.
Kata bapa kepada seorang anak itu, dia sangat takut dan hanya membayangkan akan mati.
"Kumpulan pengganas ketika itu sangat berang mungkin kerana terdapat beberapa rakan mereka sudah ditangkap di samping kubu kuat pula diserang pihak berkuasa," kata Ajmain.
0 komen:
Catat Ulasan