0htehtarik - sumber rujukan percuma dan terkini

Lemas tiru aksi ‘Superman’

| Selasa, 26 Mac 2013

Pasir Gudang: Keseronokan tiga kanak-kanak meniru aksi 'Superman,' bertukar tragedi buat seorang murid Tahun Lima apabila lemas akibat dihanyutkan arus longkang dalam kejadian di Taman Puteri Resort di sini, petang kelmarin.

Dalam kejadian jam 3 petang itu, Muhammad Aliff Ahmad, 11, dihanyutkan sejauh tujuh kilometer dari lokasi kejadian sebelum mayatnya ditemui terapung di Sungai Kimkim, dekat sini, pada jam 10 pagi, semalam.
Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintendan Roslan Zainuddin, berkata kejadian dipercayai berlaku apabila mangsa dikatakan cuba meniru aksi 'Superman' sedang terbang secara mengapungkan diri di permukaan air sambil berpaut pada batang paip dalam longkang berkenaan.


"Mangsa dipercayai terlepas pautannya pada batang paip itu sebelum dihanyutkan air deras. Kejadian hanya disedari apabila dua rakannya mendapati mangsa tiba-tiba hilang daripada berpaut di batang paip berkenaan.

Rakan cuba cari

"Mereka yang panik dengan kehilangannya cuba mencari mangsa namun tidak berhasil. Pasukan mencari dan menyelamat dikejarkan ke tempat kejadian sebaik menerima laporan, namun usaha menjejaki mangsa tidak berhasil," katanya ketika dihubungi, semalam.

Roslan berkata, mayat mangsa hanya ditemui selepas 14 jam kehilangannya oleh orang awam sebelum memaklumkannya kepada polis.
"Mayat Muhammad Aliff dihantar ke Hospital Sultan Ismail (HSI) untuk bedah siasat dan polis mengklasifikasikan kes sebagai mati mengejut (SDR). Polis bagaimanapun akan menyiasat kejadian ini secara menyeluruh," katanya.

Sementara itu, ayah mangsa, Ahmad Yahya, 56, ketika ditemui di Unit Forensik HSI terkejut dengan kejadian yang menimpa anak bongsu daripada dua beradik itu selain menyifatkan Muhammad Aliff seorang anak yang baik dan selalu mendengar kata.

Minta bapa teman

"Saya tidak sangka kerana pada pagi kejadian, dia meminta saya menemaninya di rumah, namun saya terpaksa ke Melaka pada waktu itu kerana ada urusan perniagaan.

"Saya hanya tahu mengenai kejadian ini pada jam 5 petang semalam, sebelum bergegas pulang. Saya sedih kerana tidak menurut katanya. Kini dia sudah tiada lagi," katanya.

0 komen:

Catat Ulasan