LONDON - Pendatang baharu MotoGP, Marc Marquez dan pelumba berpengalaman, Valentino Rossi sempat berlumba sesama sendiri beberapa pusingan ketika hari terakhir sesi ujian di Litar Sepang, Khamis lepas.Kebiasaannya, apabila dua pelumba bertembung ketika sesi ujian di atas litar, pelumba yang di hadapan akan memberi laluan supaya kelemahan dan kekuatan jenteranya tidak diketahui pelumba belakang.
Sebaliknya, Rossi dan Marquez meneruskan perlumbaan dengan kedua-duanya saling pintas memintas di antara satu sama lain.
Juara Moto2 2012, Marquez menjelaskan persaingannya dengan Rossi itu telah membuka matanya tentang teknik-teknik tunggangan sebenar yang ditunjukkan juara dunia tujuh kali MotoGP itu.
"Saya agak gembira," kata pelumba muda pasukan Repsol Honda itu.
"Pada awalnya ia agak pelik (berlumba dengan Rossi). Tetapi bagus juga kerana saya dapat belajar banyak perkara daripadanya meskipun kami hanya berlumba dalam tiga pusingan sahaja.
"Saya rasa gaya tunggangan saya agak 'menyusahkan' berbanding gaya tunggangan dia.
"Seperti contoh, dia mengambil selekoh dengan mudah dan juga laju. Saya pula agak sukar ketika mengambil selekoh dan juga amat perlahan.
"Jadi saya belajar sesuatu daripadanya. Selepas itu saya melakukan beberapa pusingan lagi di hadapannya. Ia agak kelakar sebenarnya," katanya.
Pertembungan di atas litar itu juga dilihat berjaya menggembirakan hati Rossi.
"Agak kelakar apabila melihat caranya menunggang," kata Rossi mengenai Marquez.
"Pada mulanya saya berada di depan untuk tiga pusingan kemudian saya perlahankan jentera dan dia pun memintas saya.
"Jadi setiap daripada kami mendapat dan memberi informasi kepada diri masing-masing.
"Gaya tunggangannya sangat menarik. Dia sangat berani. Saya berani katakan bahawa dia mampu memberi cabaran pada musim ini," katanya yang kembali semula ke pasukan Yamaha selepas dua musim bersama Ducati.
0 komen:
Catat Ulasan