Jakarta, Indonesia: Proton Holdings Bhd akan melancarkan kereta mampu milik sejajar langkah kerajaan untuk mengurangkan harga kereta itu di negara ini.
Pengerusi Eksekutifnya, Tan Sri Khamil Jamil, berkata kereta itu yang akan dilancarkan esok adalah berasaskan kepada model sedia ada Proton, tetapi ditawarkan pada harga kira-kira 10 peratus lebih rendah.
Beliau menegaskan, walaupun ditawarkan pada harga lebih rendah, tetapi aspek kualitinya tetap dijaga, malah ditampilkan peningkatan dari aspek ciri-ciri keselamatan.
Butiran lanjut
"Buat masa ini, saya tidak boleh dedahkan butiran lanjut. Tunggu pelancarannya Sabtu ini (esok)," katanya kepada media pada pelancaran PROTON Preve di pasaran Indonesia, semalam.
Tingkat daya saing vendor
Kerajaan menerusi semakan semula Dasar Automotif Nasional (DAN) sedang menggariskan pelan hala tuju bagi mengurangkan harga kenderaan secara berperingkat antara 20 hingga 30 peratus menjelang 2017.
Ia adalah sebahagian daripada langkah berterusan yang dilaksanakan sebelum ini untuk mengurangkan beban membayar hutang bagi pembelian kereta yang dianggap antara beban kewangan utama yang ditanggung oleh rakyat.
Antara elemen penting yang diambil kira dalam pelan hala tuju itu adalah pelaksanaan liberalisasi industri automotif Malaysia.
Khamil berkata, PROTON menyahut seruan kerajaan itu menerusi pelaksanaan mekanisme strategi lebih mapan, pada masa sama meningkatkan daya saing vendor automotif tempatan.
"Pengurangan harga kereta tidak semestinya penurunan harga semata-mata, ia juga boleh dilaksanakan dengan menawarkan kereta yang ditambah baik dengan spesifikasi nilai tambah, tetapi tanpa kos tambahan kepada pembeli," katanya.
0 komen:
Catat Ulasan