0htehtarik - sumber rujukan percuma dan terkini

Keunikan terapi keranda

| Sabtu, 29 Disember 2012

TIDAK ada hidupan yang akan kekal di atas muka bumi ini atau boleh melarikan diri daripada kematian yang telah ditetapkan Tuhan.
Ajal merupakan batas dan penamat muktamad bagi fungsi biologi yang mentakrifkan organisma hidup. Ajal juga dikenali sebagai fana, maut, meninggal dunia, mati, mangkat atau dalam bahasa kasar, mampus.
Pengarang buku Psikologi Kematian, Profesor Emeritus Robert Kastenbaum berkata, hasil kajiannya mendapati berfikir mengenai isu kematian akan menyebabkan seseorang itu berasa cemas, takut dan sedih.
"Ramai orang lebih selesa untuk tidak bercakap mengenai soal kematian kerana isu itu boleh menjejaskan emosi lebih-lebih lagi apabila mereka berada dalam mood gembira" katanya.
Kastenbaum menambah, kebimbangan mengenai kematian merupakan sesuatu yang mengerikan dan ia dikenali sebagai thanatophobia (takut mati) dan necrophobia (ketakutan akan kematian atau mati).
Bagaimanapun, seorang pembuat keranda yang berasal dari Ukraine, Stepan Piryanyk, menemui cara baharu untuk orang ramai menghadapi saat kematian.
 
Piryanyk mendakwa dia mempunyai formula untuk menjadikan seseorang itu lebih berani dan tenang dalam menempuh kematian.
Lelaki tersebut memperkenalkan terapi keranda yang dikatakan mampu menghilangkan tekanan serta membantu mempersiapkan diri menghadapi saat kematian. Keranda itu dilengkapi dengan kusyen empuk apabila calon si mati berbaring di dalamnya.
Menurut Piryanyk, idea mencipta keranda empuk bermula apabila seorang wanita tua datang kepadanya untuk meminta bantuan menyediakan keranda yang boleh disimpan di rumah pangsa miliknya.
"Sudah menjadi lumrah dan adat oleh nenek moyang kita untuk menyimpan keranda di atas loteng rumah. Tetapi bagi mereka yang tinggal di rumah yang bertingkat seperti flat atau pangsa pasti akan menghadapi kekangan ruang untuk melakukannya.
 
RM76 untuk 15 minit
"Pada suatu hari, seorang nenek yang tinggal di rumah pangsa meminta saya membina keranda untuknya yang boleh disimpan di dalam rumah yang didiami," cerita Piryanyk.
Dia turut membina sebuah keranda khas yang dilengkapi kusyen lembut supaya wanita itu dapat memanfaatkan sepenuhnya keranda yang dibeli daripada hanya menggunakannya setelah dia mati.
Ujar seorang pelanggan, Anna Petrukhina, ia memberikan mood yang berbeza untuk pulang ke rumah setelah penat bekerja seharian di pejabat.
"Berbaring di dalam keranda ini lebih membuatkan kita berasa tenang dan santai tanpa memikirkan hal-hal di dunia yang memenatkan.
"Saya juga tidak takut untuk menghadapi saat kematian yang telah ditakdirkan kerana saya sudah merasai perasaan apabila berada di dalam keranda," katanya.
 
Piryanyk menyediakan perkhidmatan itu bagi pelanggannya yang menginginkan ketenangan dan merasai kehidupan di dalam keranda dengan kadar AS$25 (RM76) untuk setiap 15 minit.
"Pelanggan juga boleh meminta untuk berada dalam keadaan terbuka atau tertutup semasa berada di dalam keranda ini," katanya.
Lain pula ceritanya di Klinik Kesihatan Mental Ruoshui yang terletak di Shenyang, China. Konsep yang komersialkan oleh Piryanyk turut diperkenalkan di China sejak tahun 2009.
Apa yang berbeza ialah caj yang dikenakan sebanyak 2,000 yuan (RM982) bagi setiap sesi.
Ia diterajui oleh seorang ahli terapi, Tang Yulong, yang memperkenalkan terapi dalam keranda di kliniknya untuk orang ramai merasai pengalaman dan perasaan saat-saat kematian.
 
Meraung
Menurut Tang, setiap satu sesi terapi akan memakan masa selama lima jam.
"Semasa upacara sedang berlangsung, pesakit diminta untuk baring di dalam keranda manakala seorang ahli keluarga atau sesiapa yang mempunyai pertalian darah akan di minta untuk membaca 'epitaphs' atau ucapan berdekatannya.
"Pada akhir sesi, pesakit akan diminta untuk menulis komen mengenai perasaan yang mereka rasai ketika berada di dalam keranda," katanya.
Tang mengakui teknik itu merupakan satu kaedah yang ekstrem namun ia berkesan untuk membuat orang ramai menyedari nilai kehidupan mereka.
"Rata-rata pesakit saya akan menangis teresak-esak sebaik mereka keluar daripada keranda ini. Mereka pasti rasa bersyukur kepada Tuhan kerana diberi peluang untuk hidup sehingga ke hari ini," katanya.
 
Sama juga halnya dalam Islam.
Islam mengajar umatnya bahawa kewujudan mereka di dunia ini adalah seperti pedagang atau pengembara yang akan pulang ke kampung halaman tempat asalnya yang kekal abadi.
Pelbagai cara diberikan untuk umat Islam melakukan ibadat kepada Allah.
Namun, Allahyarham Abdul Rahman Uthman atau dikenali dengan panggilan Tok Selehor, anak kelahiran Tumpat, Kelantan mendekatkan dirinya dengan Allah dengan memilih menyendiri di dalam kubur buatan sendiri.
Tok Selehor lebih gemar berpanas dan bergelap di dalam liang lahad sedalam tujuh kaki itu untuk beruzlah meninggalkan keindahan dunia.
Malah, menurut cicitnya, Mohd. Shauki Abd. Majid, Tok Selehor pernah bersendiri di dalam kubur selama 40 hari berturut-turut tanpa berjumpa sesiapa mahupun menukar pakaiannya.
 
"Moyang saya akan menyendiri untuk tempoh yang tertentu kerana dia ingin menghilangkan perasaan riak di dalam dirinya ekoran disanjung tinggi penduduk di kampung.
"Jika Tok Selehor mengadakan kuliah, kampung itu pasti akan dibanjiri ribuan pengunjung yang datang dari rata-rata tempat bagi mendengar tazkirah yang ingin dikongsikannya," katanya.
Allahyarham ialah pengasas beberapa pondok pengajian di Kelantan dan merupakan salah seorang daripada lima ulama yang terkenal di Kelantan pada masa itu termasuk Tok Kenali dan Tok Kemuning.

0 komen:

Catat Ulasan