0htehtarik - sumber rujukan percuma dan terkini

Adiputra tolak sesi fotografi buka pakaian

| Selasa, 15 Januari 2013

SETIAP insan yang bernama suami pasti teruja dengan kelahiran cahaya mata yang menyerikan lagi alam rumah tangga mereka bersama isteri tercinta.
Itu perasaan yang yang turut dialami aktor bertubuh sasa, Adi Putra. Pelakon yang terkenal melalui watak Jai dalam filem KL Gangster, itu sebelum ini selesa menayangkan tubuh sasanya dalam filem tersebut baru sahaja menerima kehadiran cahaya mata, Zara Adelia Haadi dalam kehidupannya beberapa bulan lalu.
Mungkin kerana sudah bergelar bapa, sehubungan itu timbul desas-desus mengatakan Adi Putra enggan lagi melakonkan watak yang memerlukan dia membuka baju dalam babak drama atau filem.
Di sebalik kesibukan di set penggambaran produksi lakonannya, pelakon filem Akualam Terima Nikahnya itu juga dikatakan semakin mengehadkan waktu kerjanya bagi meluangkan lebih banyak masa bersama keluarga.
 
Sejauh mana kebenarannya, ikuti temu bual Kosmo! dengan Adi Putra ketika ditemui pada majlis pelancaran produksi drama-drama TV3 untuk suku tahun 2013 di Flora Terrace@ Hempshire Place, Kuala Lumpur baru-baru ini.
 
Kosmo!: Sejak mendapat anak, Adi Putra dikhabarkan enggan berlakon watak atau melakukan sesi fotografi yang memerlukan anda membuka pakaian. Benarkah?
ADI PUTRA: Bagi sesi fotografi yang memerlukan saya membuka pakaian, mungkin saya akan tolak. Ini kerana menjadi seorang bapa merupakan satu tanggungjawab yang besar dan sudah menjadi lumrah, seorang ayah menjadi ikon yang baik kepada anak. Jika tidak, anak kita kelak mungkin terpaksa menghadapi situasi yang kurang senang dan agak sukar untuk kita memberikan penjelasan secara umum kelak. Namun, untuk drama atau filem mungkin saya akan membuka pakaian jika diperlukan untuk sesuatu watak. Ini kerana ia adalah tanggungjawab saya sebagai seorang pelakon.
 
Adakah Adi Putra hanya akan memilih watak-watak yang sesuai sahaja setelah bergelar bapa?
Sekarang ini saya sedang menerokai pelbagai jenis watak-watak yang masih banyak lagi saya belum lakonkan dan ingin lakonkan. Buat masa ini, biarlah saya selesaikan dahulu satu persatu sebelum mencuba watak yang lain. Dalam tempoh beberapa tahun ini saya akan lebih fokus kepada watak cinta seperti cinta komedi, serius dan aksi.
 
Sebelum ini Adi Putra pernah memegang watak lelaki romantik dalam filem Aku Terima Nikahnya bersama Nora Danish. Adakah disebabkan filem tersebut, kini anda banyak meraih tawaran drama atau filem romantik?
Sebelum filem Aku Terima Nikahnya lagi saya ada berlakon drama atau filem cinta tetapi tidak diketengahkan dan orang tidak tahu. Saya rasa filem itu bukan penyebab kebelakangan ini saya mendapat tawaran berlakon dalam drama atau filem cinta.
 
Apakah perkembangan Adi Putra sekarang?
Saya sedang sibuk dengan penggambaran drama Sehangat Asmara yang menggantikan drama Adam Dan Hawa di Astro Mustika berganding dengan Rita Rudaini sebagai heroin. Selepas itu, saya akan sibuk dengan penggambaran drama bersiri untuk slot Akasia di TV3. Selain itu, filem saya yang akan ditayangkan tahun ini termasuklah KL Gangster 2, Hanyut, Langgar, Isyarat Cinta dan Balistik.
 
Adi Putra sekarang ini sedang sibuk dengan penggambaran drama. Adakah anda mengehadkan waktu kerja untuk meluangkan masa dengan anak?
Saya belum habis lagi kerja-kerja penggambaran untuk drama Sehangat Asmara, jadi saya tidak boleh mengehadkan waktu kerja. Namun, tahun ini saya sudah selaraskan jadual saya pada hari-hari tertentu untuk saya luangkan masa dengan anak dan juga isteri.
 
Apakah perbezaan yang dapat dirasai selepas kemunculan cahaya mata dalam hidup Adi Putra?
Saya mendapat keseronokan yang tidak boleh dibeli di mana-mana. Saya rasa anak saya memberikan satu inspirasi dan kekuatan untuk menubuhkan syarikat sendiri iaitu Nur ADP yang akan menerbitkan sebuah filem tidak lama lagi yang diadaptasi daripada sebuah novel berjudul, Suami Aku Ustaz.
 
Adi Putra turut tercalon dalam Anugerah Bintang Popular (ABP) untuk dua kategori iaitu Pelakon Lelaki TV Popular dan Pelakon Lelaki Filem Popular. Apakah strategi yang dilakukan bersama kelab peminat sebagai kempen untuk pencalonan itu nanti?
Kelab peminat saya sentiasa aktif melakukan pelbagai kempen walaupun bukan kerana ABP. Sebelum ini kami banyak mengadakan bermacam-macam aktiviti dan tidak perlu bila ada ABP baru kelab peminat ini aktif. Jika saya menang pun bukan untuk saya tetapi untuk mereka yang menyokong saya daripada mula-mula berada dalam industri sehingga sekarang.

0 komen:

Catat Ulasan