0htehtarik - sumber rujukan percuma dan terkini

Fahami rebat cukai

| Selasa, 8 Januari 2013

SAYA difahamkan bahawa di Malaysia, setiap individu Muslim yang menunaikan kewajipan pembayaran zakat berhak memperoleh rebat ke atas cukai pendapatannya. Tetapi, bagaimana pula mekanisme rebat ke atas cukai perniagaan syarikat? Harap mendapat penjelasan daripada pihak ustaz.
 
Jawapan
tanyaan ini dan mudah-mudahan ia mampu memberikan pencerahan kepada ramai umat Islam di luar sana, Amin. Hakikatnya, di Malaysia memang mempunyai dua jenis cukai yang berbeza. Pertama, cukai ke atas individu dan keduanya cukai ke atas perniagaan. Cukai ke atas individu akan dikenakan kepada setiap individu yang bekerja dan apabila mereka memperoleh amaun pendapatan tertentu yang melayakkan mereka dikenakan cukai pendapatan, maka pihak kerajaan akan mengutip cukai pendapatan tersebut.
Pendeknya, ia adalah suatu kewajipan yang dikenakan kepada rakyat dan individu yang bermastautin dan bekerja di Malaysia demi pembangunan negara. Benar, apabila seseorang Muslim itu menunaikan zakat, maka mereka berhak memanfaatkan setiap sen yang dizakatkan itu untuk memperoleh rebat ke atas cukai pendapatannya. Harus diingat, apa yang disebutkan di dalam Akta Cukai Pendapatan (ACP) 1967 hanyalah kalimah 'zakat' dan 'sebarang pembayaran wajib kepada agama Islam', maka ia tidak hanya terhad kepada zakat pendapatan semata-mata.
 
Malah, semua jenis zakat termasuklah zakat fitrah, sebenarnya layak dimanfaatkan untuk memperoleh rebat ke atas cukai pendapatan tahunan individu berkenaan.
Berikut adalah petikan daripada ACP 1967, Seksyen 6A (3): "Rebat hendaklah diberikan pada tahun-tahun taksiran untuk sebarang bayaran zakat fitrah atau lain-lain tuntutan agama Islam yang mana pembayarannya wajib dan yang telah dibayar dalam tahun asas bagi tahun taksiran itu dan dibuktikan oleh resit yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa agama yang berkenaan yang ditubuhkan mengikut undang-undang bertulis."
Maka, seseorang individu Muslim itu sewajarnya memahami, bahawa akta ini memberikan kita keistimewaan di sisi perlembagaan dan undang-undang, kerana kita boleh mendapatkan pengurangan ataupun penghapusan cukai pendapatan seandainya amaun zakat yang dikeluarkan adalah sama ataupun melebihi jumlah amaun cukai yang dikenakan. (rujuk Ilustrasi 1)
 
Walau bagaimanapun, rebat yang diizinkan oleh pihak kerajaan ke atas cukai perniagaan adalah berbeza. Ini kerana, sehingga ke hari ini pihak kerajaan hanya mengizinkan, mana-mana perniagaan muslim, sama ada berbentuk syarikat, koperasi mahu pun badan amanah, maka rebat ke atas cukai perniagaan yang dibenarkan hanyalah sebanyak 2.5 peratus daripada pendapatan agregat; dan bukannya berdasarkan jumlah zakat perniagaan yang telah ditunaikan pada tahun berkenaan.
 
Menurut perisytiharan pihak kerajaan, rebat 2.5 peratus ke atas pendapatan agregat ini diberikan kepada pihak syarikat muslim yang membayar zakat bermula pada tahun 2005 dan bagi koperasi dan badan amanah pula, ia diberikan bermula tahun 2007. Rebat yang diberikan untuk tahun taksiran cukai perniagaan itu pula, mestilah sama seperti mana tarikh pembayaran zakat yang telah dilakukan oleh pihak syarikat. Walau bagaimana pun, jika ada lebihan daripadanya, maka ia diberikan keizinan untuk dibawa ke tahun hadapan.
Mungkin ada yang bertanya, apakah makna pendapatan agregat? Pendapatan agregat bermakna, pendapatan statutori (yang tertakluk kepada undang-undang atau peraturan tertentu) daripada punca perniagaan setelah ditolak apa-apa kerugian perniagaan yang dibawa dari tahun sebelumnya dan ditambah lagi dengan pendapatan statutori daripada pelbagai punca lain (pada tahun semasa), iaitu pendapatan perniagaan, dividen, faedah atau royalti. (rujuk Ilustrasi 2)
 
Kesimpulannya, rebat ke atas cukai pendapatan dan cukai perniagaan adalah berbeza dan pihak pengurusan zakat di Malaysia sentiasa berusaha untuk memperoleh rebat yang lebih baik atau sewajarnya daripada pihak kerajaan, agar ia sama seperti rebat ke atas cukai pendapatan yang diizinkan sebelum ini. Sama-samalah berdoa semoga usaha ini mendatangkan hasilnya kelak, insya-Allah. Wallahua'lam


0 komen:

Catat Ulasan