Isu penggunaan kalimah Allah adalah perkara yang paling besar dalam agama Islam. Dalam setiap agama, kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan yang hendak disembah itu adalah tonggak yang paling besar.
Sebenarnya, al-Quran sudah menjelaskan bahawa ada perbezaan antara akidah Islam dengan ajaran anutan agama lain.
Perlu ditegaskan bahawa penggunaan God adalah konotasi Tuhan secara umum, manakala Allah adalah khusus sama ada dari segi makna dan sifat-Nya. Justeru, hakikat Allah adalah bersifat Esa dan bukannya berbilang-bilang.
Allah SWT berfirman bermaksud: "Bagi kamu agama kamu dan bagiku agamaku" (Surah al-Kafirun, 109:8). Maksudnya, Islam dengan Allah, manakala Kristian dengan Jesus, Lord atau God.
Dalam Islam, akidah tauhid yakni mengesakan Allah SWT itu adalah sangat penting.
Malah, sudah menjadi salah satu daripada pegangan hidup Islam, Allah itu sentiasa ada bersama-sama dengan orang beriman pada setiap masa dan sentiasa diucapkan.
Misalnya, ketika hendak makan, minum, berjalan, menaiki kenderaan, tidur dan masuk serta keluar tandas diucapkan basmalah, bayi yang baru lahir ke dunia disambut dengan azan dan kamat dan orang yang sedang nazak pun diajarkan kalimah syahadah. Hal ini mempamerkan bahawa kalimah Allah sentiasa berada dalam diri orang yang beriman dan adalah asas akidah tauhid.
Jika diteliti pula penggunaan kalimah Allah dalam al-Quran, misalnya dalam Surah al-Baqarah yang mengandungi 286 ayat, didapati kalimah Allah diulang sebanyak 279 kali.
Ini menunjukkan hampir setiap ayat dalam surah tersebut ada disebut kalimah Allah. Malah ada juga surah yang bilangan pengulangan kalimah Allah dalamnya melebihi bilangan ayatnya, misalnya dalam Surah al-Mujadalah yang mengandungi 22 ayat, diulang kalimah Allah sebanyak 34 kali.
Menurut Nurul Izzah Sidek dalam artikelnya yang bertajuk 'Pemahaman Konsep Allah', pengulangan kalimah Allah dalam al-Quran melebihi 20,000 kali.
Dalam mengerjakan solat lima waktu sehari semalam pula, kalimah Allah disebut sebanyak 425 kali bagi 17 rakaat. Hal ini mempamerkan betapa dekatnya kalimah Allah dengan umat Islam.
Umat Islam yang terdiri daripada pelbagai bangsa dan bahasa telah menyebut dan menulis kalimah Allah daripada kitab suci al-Quran. Kalimah Allah ini tidak diterjemahkan ke bahasa masing-masing, kerana ia tidak mampu diterjemahkan ke bahasa-bahasa lain.
Namun, pada kebelakangan ini ini timbul persoalan mengapa orang bukan Islam akan menggunakan kalimah Allah yang merujuk kepada Jesus, Lord atau konsep triniti?
Kenapa hanya Bible edisi bahasa Melayu saja yang menggunakan kalimah Allah, sedangkan edisi bahasa Inggerisnya tidak pula berbuat demikian? Adakah terdapat agenda di sebaliknya? Dari sini timbullah prasangka yang berkemungkinan ada asasnya.
Meskipun ada pihak yang berhujah tiada larangan daripada nas al-Quran dan hadis berhubung penggunaan kalimah Allah oleh golongan bukan Islam, namun Allah tetap melarang dakwaan ia adalah satu daripada yang tiga (triniti), yakni kepercayaan mengenai kewujudan tiga entiti membentuk satu Tuhan.
Dalam triniti, ada disebut anak Tuhan (Nabi Isa). Allah berfirman yang bermaksud: "Sesungguhnya telah kafirlah mereka yang berkata: 'Bahawasanya Allah ialah salah satu daripada yang tiga (triniti)'. Padahal tiada tuhan (yang berhak disembah) melainkan Tuhan (Allah) Yang Maha Esa" (Surah al-Maidah ayat 73).
Dalam akidah Islam, Nabi Isa adalah seorang Rasul yang mulia. Baginda bukanlah anak Tuhan, tetapi adalah manusia yang dipilih oleh Allah untuk menyampaikan ajaran-Nya kepada manusia. Di sini wujudnya perbezaan yang besar antara akidah Islam dengan ajaran Kristian.
Oleh itu, kefahaman Allah yang sebenar adalah mengikut maksud akidah tauhid. Maka penggunaan kalimah Allah dalam Islam adalah selari dengan akidah tauhid, yakni merujuk kepada Allah yang Esa dan sama sekali tidak secocok dengan konsep triniti.
Justeru, sekiranya nama Allah digunakan dengan sesuka hati tanpa mengambil kira aspek akidah, ia akan menimbulkan kekeliruan berhubung Allah dalam konteks akidah Islam dan Allah dalam pemahaman ajaran agama lain.
Sekiranya hal ini terjadi, dibimbangi kedua-dua agama akan disamakan sedangkan pada hakikatnya kedua-duanya adalah berbeza.
Dalam konteks Malaysia, apabila agama lain dibenarkan menggunakan kalimah Allah, ia akan menjadi perkara sensitif dalam hubungan agama. Meskipun masih wujud lagi perbincangan mengenai keharusan penggunaan kalimah Allah dalam agama lain, tetapi demi kemaslahatan umum, ia sama sekali tidak wajar ditimbulkan.
Perlu ditegaskan bahawa penggunaan God adalah konotasi Tuhan secara umum, manakala Allah adalah khusus sama ada dari segi makna dan sifat-Nya. Justeru, hakikat Allah adalah bersifat Esa dan bukannya berbilang-bilang.
Oleh itu, penggunaan Allah dalam agama Islam dan dalam agama lain sama sekali tidak boleh disamakan. Apatah lagi ia boleh mengelirukan akidah umat Islam.
0 komen:
Catat Ulasan