Allah SWT sebagai Pencipta dan Pemilik seluruh alam semesta antara tiga elemen asas tasawur Islam selain manusia serta sumber alam sebagai makhluk. Dalam hal ini, tiada sesuatu pun yang menyamai dan dapat menyaingi kekuasaan Allah SWT.
Selepas mencipta alam ini, Allah SWT tidak membiarkannya begitu saja sebaliknya terus menerus mengurus hal ehwal alam yang diciptakan-Nya.
Selepas mencipta alam ini, Allah SWT tidak membiarkannya begitu saja sebaliknya terus menerus mengurus hal ehwal alam yang diciptakan-Nya.
Allah SWT berfirman: "Sesungguhnya Tuhan kamu ialah Allah yang menciptakan langit dan bumi dalam enam masa. Kemudian Dia bersemayam di atas 'Arsy untuk mengatur segala urusan. Tiada seorang pun yang akan memberi syafaat kecuali dengan izin-Nya." (Surah Yunus, ayat 3)
Hubungan yang wujud antara manusia (hamba) dengan Allah SWT (Pencipta) berbentuk hubungan menegak. Hakikat hubungan antara manusia dengan Allah SWT termasuk dalam konsep rububiyyah dan uluhiyyah Allah SWT.
Tauhid rububiyyah
Tauhid rububiyyah adalah kepercayaan dan pegangan dengan sepenuh hati bahawa Allah SWT Pencipta, Pemilik, Penguasa, Pentadbir dan Pengurus seluruh alam. Dengan kata lain, hanya Allah SWT yang berkuasa dan mempunyai hak ketuanan ke atas segala sesuatu tanpa sebarang persekutuan dan perkongsian dengan sesiapa pun.
Berdasarkan pengertian ini, jelas terdapat dua aspek utama dalam tauhid rububiyyah. Pertama, Khaliqiyyah (Pencipta) dan kedua pula, hakimiyyah (Pemilik, Penguasa, Pentadbir, dan Pengurus).
Kesediaan dan kesanggupan seseorang hamba mentauhidkan Allah SWT dari segi rububiyyah ini akan membawanya meyakini tauhid uluhiyyah, iaitu mempercayai dan berpegang dengan sepenuh hati hanya Allah SWT yang esa layak disembah, ditaati dan dipatuhi secara mutlak.
Paksi kepada tauhid uluhiyyah ialah dua kalimah syahadah. Pengakuan dan penyaksian membawa makna Allah SWT sahajalah Tuhan yang sebenar-benarnya dan layak disembah. Semua ini hakikat ketuhanan yang wajib diimani. Segala urusan diserahkan kepada Allah SWT.
Sekiranya keimanan seseorang manusia kepada hakikat ketuhanan ini tidak menepati kehendak uluhiyyah, ia akan menjadi seperti akidah golongan musyrikin Quraisy pada zaman Rasulullah SAW.
Mereka mempunyai ilmu mengenai kebesaran dan kekuasaan Allah SWT, tetapi mereka tidak mengambil peduli terhadap-Nya. Sepatutnya pengakuan rububiyyah Allah SWT dapat membawa mereka kepada mengabdikan diri kepada Allah SWT yang esa tanpa sebarang penyekutuan.
Tasawur akidah
Justeru, tasawur akidah seseorang Muslim terhadap Allah SWT hendaklah merangkumi kedua-dua konsep ketuhanan iaitu rububiyyah dan uluhiyyah. Seseorang hamba itu tidak dianggap beriman selagi tasawur akidahnya terhadap Allah SWT hanya sekadar beriman dengan konsep rububiyyah saja atau sebaliknya.
Dengan keyakinan tauhid rububiyyah dan uluhiyyah, maka tempat pergantungan, perlindungan, penghormatan dan pengabdian manusia hanya kepada Allah SWT semata-mata.
0 komen:
Catat Ulasan