Kuantan: Ini adalah malam yang pasti sukar dilupakan. Bukan saja saya menjaringkan dua gol, tetapi kami mengaibkan pasukan yang dipenuhi bintang, demikian reaksi Mohd Fauzi Roslan selepas Pahang mengejutkan Johor Darul Takzim 3-2 di Stadium Darul Makmur, malam tadi.Fauzi harus diangkat sebagai pemain terbaik perlawanan kerana mencetus kebangkitan skuad Tok Gajah apabila menyumbat dua gol selepas ketinggalan 2-0 sebelum R Surendran memastikan kemenangan anak buah Dollah Salleh dengan gol kemenangan tujuh minit sebelum tamat perlawanan.
Bagi Fauzi, dia menyifatkan kemenangan bermakna itu hasil daripada kerjasama rakan sepasukan dalam usaha mengutip tiga mata penuh di depan penyokong sendiri.
Saya seperti tidak percaya apabila menjaringkan dua gol malam ini (malam tadi), tetapi ia membuktikan kami mampu bersaing dalam saingan Liga Malaysia musim ini.
Kemenangan ini diharap membantu menyemarakkan semangat pasukan bagi menghadapi perlawanan akan datang, katanya.
Kelibat anak jati Pekan, Pahang itu turut dipuji Dollah yang menyifatkan penyerang itu mampu meledak.
Saya gembira dia (Fauzi) bijak memanfaatkan peluang yang terhidang dan dua gol yang dihasilkan membangkitkan semangat pemain lain untuk mengutip tiga mata berharga, katanya.
0 komen:
Catat Ulasan