0htehtarik - sumber rujukan percuma dan terkini

Majikan lega tak perlu bayar levi pekerja asing

| Khamis, 31 Januari 2013

Kuala Lumpur: Lebih 300,000 majikan tempatan yang menggunakan khidmat pekerja asing kini dapat meneruskan operasi tanpa perlu menanggung beban kewangan tinggi apabila bayaran levi ditanggung sepenuhnya pekerja terbabit.

Persekutuan Majikan Malaysia (MEF) berpendapat keputusan itu membuktikan kerajaan kepemimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak turut mengambil kira pandangan serta mendengar rayuan majikan selama ini.
Pengarah Eksekutifnya, Shamsuddin Bardan, berkata langkah terbaru kerajaan itu bukan saja akan merancakkan ekonomi negara, malah lebih ramai majikan mampu menjalankan perniagaan untuk tempoh jangka panjang.


Sebelum ini, katanya, MEF mencadangkan pembayaran levi ditanggung warga asing berikutan pelaksanaan gaji minimum, antara lain menyebabkan majikan turut menanggung beban kewangan tinggi.

"Sudah tentu kita menyambut baik keputusan ini dan ia jelas menunjukkan kerajaan tidak meminggirkan majikan," katanya, semalam.

Kelmarin, Kabinet memutuskan bayaran levi pekerja asing ditanggung sepenuhnya oleh tenaga kerja itu dan bukan majikan, berkuat kuasa serta-merta.

Dasar baru Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah, berkata dasar itu turut membabitkan pekerja asing yang baru atau mereka yang ingin memperbaharui pas kerja, pas penggajian atau pas lawatan (kerja sementara).

Husni berkata, langkah kerajaan mengenakan levi kepada pekerja asing tidak akan membebankan mereka kerana kadar perlu dibayar golongan terbabit antara RM34.16 hingga RM154.16 sebulan berbanding peningkatan gaji secara umumnya antara RM300 hingga RM500 sebulan.

Sementara itu, Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Dr S Subramaniam, berkata pelaksanaan bayaran levi pekerja asing itu dapat membantu majikan menjimatkan kos operasi.

Sebagai contoh, katanya, majikan sektor perkhidmatan dapat menjimatkan kira-kira RM1,800 setahun atau tidak perlu lagi membayar RM150 untuk setiap pekerja pada setiap tahun, manakala majikan di sektor pembuatan dapat berjimat RM100.

"Sektor pertanian dapat berjimat hampir RM400," katanya pada sidang media selepas merasmikan Kem Latihan Kepemimpinan Bagi Pelajar Universiti di Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH) di sini, semalam.

0 komen:

Catat Ulasan