0htehtarik - sumber rujukan percuma dan terkini

Myvi Passo

| Ahad, 13 Januari 2013

DI Malaysia, kalau dalam satu hari tidak jumpa Perodua Myvi memang tak sah. Malah di negeri yang kebanyakan kenderaannya ialah trak pikap seperti Sabah, ada juga Myvi 'terselit' di tengah-tengah bandar. Di kampung jangan ceritalah. Memang Myvi yang boleh kita jumpa.
Antara faktor penyumbangnya adalah kebanyakan pelajar kolej atau universiti apabila tamat sahaja pengajian dan dapat kerja terus beli Myvi. Ditambah pula sekarang ada skim beli kereta untuk graduan, lagi senang untuk mereka memilikinya.
 
Myvi yang dipaparkan dalam kolum Modifikasi minggu ini bukan calang-calang. Maksud saya, untuk berada pada tahap kereta yang diubah suai sehingga begini rupa, dia punya duit sudah mengalir macam air terjun, bukan tahap air paip lagi.
Walaupun alat ganti Myvi semakin hari semakin murah terutamanya bodypart, masih ada sebilangan aksesori tetap mahal harganya. Namun, ada kalangan orang yang main kereta itu memang duitnya banyak. Jadi, setakat hendak beli barang berharga beribu-ribu ringgit bukan masalah besar untuk mereka.
Kereta itu milik seorang kawan yang enggan namanya dikenali. Dia membeli Myvi kerana hobinya mengubah suai kereta. Macam biasa, kereta itu adalah sebuah Myvi standard. Tetapi anda faham-faham sahajalah kalau duduk dalam kelompok peminat tegar model Japan Domestic Market (JDM), takkan hendak guna bodykit Bumifiber? Memang kena gelaklah.

BREK jenis Brembo Skyline GTR 4Pot digunakan bagi memberhentikan jentera ini.


Myvi itu keluaran tahun 2007. Apa yang tinggal sekarang hanyalah casisnya yang berdaftar dengan geran Perodua. Barang-barang lain semua sudah ditukar dengan bahagian Passo yang datang daripada bermacam-macam versi.
Enjin K3VET
Baiklah. Kita mulakan dengan bahagian enjin. Enjin asal kereta itu dikeluarkan dan digantikan dengan enjin K3VET. Enjin K3VET asalnya daripada Myvi seorang rakannya yang memang berada dalam keadaan sangat baik.
Kepala silindernya telah siap diganti dengan kepala silinder Alza 1.5, turbo jenis bearing dan throttle body 1.5 Vios. Aksesori enjinnya boleh tahan banyaknya iaitu blow-off HKS SSQV, bubble tank, oil catch tank Cusco, hos-hos Samco dan akhir sekali E-Manage.
E-Manage memang sangat berguna untuk tetapan enjin tidak kira sama ada enjin berkuasa atau kurang berkuasa. Ia juga digunakan untuk menjimatkan minyak atau disesuaikan dengan kualiti petrol RON95.
Kotak gear adalah daripada model Daihatsu YRV tiptronik. Ekzos digantikan oleh HKS Hi Power Super Silent. Sudahlah berkuasa, senyap pula. Disebabkan oleh kuasa tadi, pemiliknya tidaklah malu hendak memasangkan brek hadapan jenis Brembo Skyline GTR 4Pot.
Kalau main Myvi, orang takkan tanya ada berapa kuasa kuda, berapa boost dan berapa laju boleh pecut. Sebaliknya, main Myvi mesti ada gaya. Justeru, dari segi aksesori dan kosmetik, dia memilih bodypart Passo Racy TRD Sport M yang merupakan darjat tertinggi Passo sebelum tahun 2007.

LAMPU sportlight menjadikan wajah hadapan Myvi kelihatan lebih sporty.


Memang terbaik
Walaupun sudah ada versi facelift, tetapi masih ramai yang setuju bahawa bodykit itu nampak lebih sporty dengan spotlight bulat di bahagian bawahnya. Peralatan lain yang turut dipasang pada kit depan kereta ialah parking pole dan lips karbon Sport M. Panel batang yang melintang di belakang nombor plat itu rupa-rupanya jenama Modellista. Memang terbaik.
Melihat bahagian sisi kereta, anda boleh lihat cermin sisi model facelift sebab ada lampu isyarat membelok, skirting model Racy, visor Passo OEM, penutup tempat isi minyak dan banyak lagi.
Percaya atau tidak, semua cermin dan hendal krom adalah daripada Passo. Bahagian belakang menggunakan Spoiler TRD jenis karbon replika, bampar belakang Racy dan apron aftermarket untuk disesuaikan dengan bampar Racy tadi. Sekali pandang nampak macam bampar OEM dari kilang dan seperti konsep Move RS.
Rim? Ya. Apa yang membezakan Myvi biasa dengan Myvi peminat tegar JDM pastinya rim yang bagus. Tidak ada apa yang lebih bagus melainkan TE37, empat lubang dengan lebar 7.5 inci, offset depan belakang dan PCD100.

RIM TE37 menjadi pilihan tepat jika inginkan konsep modifikasi JDM.


Harganya tak usah tanyalah. Paling penting boleh dapat atau tidak. Rim itu dipadankan dengan tayar Bridgestone Adrenalin bersaiz 205/40/17. Apabila sudah guna rim 17 inci, maksudnya sangatlah Mitsubishi Pajero kalau tidak direndahkan. Kereta itu menggunakan suspensi jenis boleh laras jenama TEIN.
Bahagian dalaman sudah tentu macam-macam benda boleh pasang. Benda wajib ialah papan pemuka TRD lengkap dan meter RPM daripada model sebelum facelift. Tidak lupa kemasan pintu jenama Racy, kolum shift jenis tombol krom, tempat duduk red dot Racy, perehat tangan Passo, karpet Racy dan stereng Momo yang payah nak jumpa itu. Meter tambahan adalah jenis Defi tulen.
Kalau sudah sampai tahap seperti ini, ia boleh dikatakan sebagai sebuah Myvi Passo yang lengkap. Cakap banyak tak guna, kalau kena terserempak dengan orang kaya silap-silap boleh dapat harga luar biasa.

0 komen:

Catat Ulasan