Pasangan suami-isteri, Scha Alyahya dan Awal Ashaari, masih terasa kesannya sehingga ke hari ini walaupun tiada sebarang bukti menunjukkan mereka terbabit dalam kejadian mencuri pakaian di sebuah gedung pakaian terkenal, seperti yang pernah kecoh sekitar Oktober tahun lalu.
Kepedihan gara-gara tuduhan tidak berasas itu cukup dirasakan Scha apabila dia mengaku kecewa dengan penganjur yang seolah-olah lepas tangan apabila isu itu tersebar.
Kepedihan gara-gara tuduhan tidak berasas itu cukup dirasakan Scha apabila dia mengaku kecewa dengan penganjur yang seolah-olah lepas tangan apabila isu itu tersebar.
Memang saya merajuk dengan penganjur apabila mereka tidak melakukan sebarang tindakan susulan untuk memulihkan kembali reputasi saya yang sudah tercemar. Berkali-kali saya meminta mereka mengeluarkan kenyataan yang boleh membersihkan nama saya. Namun mereka memberikan alasan polisi syarikat menghalang mereka berbuat demikian.
Saya cuba juga meminta jika ada salinan CCTV yang menunjukkan kami melakukan tindakan salah laku itu sebagai bukti, tapi permintaan kami gagal ditunaikan, ujar Scha ketika ditemui pada majlis penyampaian hadiah peraduan Petronas Switch for XTRA Road Challenge di Kuala Lumpur, Jumaat lalu.
Pertandingan berupa kempen yang menyaksikan kemenangan berpihak kepada penyampai radio Hot FM, Faizal Ismail atau FBI, itu menyaksikan selebriti terpilih seperti Scha, Awal dan blogger terkenal, Hanis Zalikha, mengembara ke seluruh negara sekali gus menyudahkan pelbagai cabaran dikehendaki bersama peminat terpilih.
Ditanya apakah tuduhan nakal itu menjejaskan kerjaya seninya terutama membabitkan pandangan khalayak terhadapnya, Scha mengakui ia memberi sedikit tempias.
Walaupun tidak secara terang-terangan, tetapi ada juga syarikat produk saya wakili yang menyiasat kesahihan perkara itu daripada orang lain. Mungkin mereka bimbang jika perkara itu benar-benar terjadi. Namun saya tetap menerima jemputan daripada pelbagai pihak untuk menjadi tetamu majlis. Sekali gus ia membuktikan mereka percaya saya tidak terbabit dengan kes mencuri, tegasnya.
Sedia timang anak
Sebagai pasangan yang sudah mendirikan rumah tangga, soalan mengenai cahaya mata pastinya wajib ditanyakan kepada pasangan suami isteri. Maklum saja, selepas hampir lapan bulan berkahwin tentunya peminat Scha dan Awal mahu melihat mereka dikurniakan zuriat sendiri.
Bagaimanapun timbul juga cakap-cakap nakal yang mendakwa mereka tidak bersedia untuk mempunyai anak kerana masih memburu keseronokan hidup berdua. Ditambah pula dakwaan kononnya Scha bimbang bentuk tubuh akan berubah sebaik saja menimang cahaya mata.
Siapa kata saya tak mahu anak? Memanglah orang lihat kami ini enjoy sepanjang masa, seolah-olah tak bersedia untuk memiliki zuriat sendiri. Dalam hal ini saya percaya kepada rezeki. Jika Tuhan nak bagi, kami memang bersedia bila-bila masa saja.
Tapi, saya ada juga dengar nasihat daripada beberapa rakan artis supaya tidak terlalu tertekan memikirkan soal ini. Dynas contohnya, mula-mula dia memang tertekan dengan soal anak sehingga sampai satu tahap dia sudah malas untuk mencuba. Namun siapa sangka saat dia mula putus asa, tiba-tiba Tuhan beri rezeki, ujar Awal optimis.
Terkejut masih ada peminat
Mengenai namanya sekali lagi membolos senarai Top 5 Pengacara Lelaki Popular Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) edisi ke-26, Awal berkata, dia sendiri terkejut kerana menganggap masa untuknya berada dalam senarai itu sudah lama berlalu sebaik saja dia mendirikan rumah tangga.
Memang saya tak sangka kerana tahun lalu produk saya tidak banyak, ditambah dengan status saya yang sudah pun berkahwin. Ada lagi ke peminat? Lagipun saya memang tak banyak berkempen berbanding ABPBH tahun lalu. Jadi, apabila nama saya sekali lagi dicalonkan, saya memang terkejut dan terima kasih kepada peminat yang tidak jemu-jemu menyokong kerjaya seni saya, katanya teruja.
0 komen:
Catat Ulasan