0htehtarik - sumber rujukan percuma dan terkini

GPMS saran pengguna BB1M dihad kepada buku Ilmiah

| Selasa, 26 Februari 2013

KUALA LUMPUR - Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) menyarankan kepada kerajaan supaya mengehadkan penggunaan Baucar Buku 1Malaysia (BB1M) kepada pembelian buku ilmiah sahaja.
Timbalan Presidennya Ezaruddin Abd Rahman berkata ini berikutan terdapat segelintir mahasiswa menyalahgunakan BB1M untuk membeli bahan bukan akademik seperti majalah hiburan dan cakera padat (CD).
"Seharusnya BB1M ini digunakan untuk membeli bahan bacaan berilmiah sahaja memandangkan kebanyakan buku-buku ini berharga ratusan ringgit dan ramai yang tidak mampu untuk membelinya, maka bantuan yang diberi mesti digunakan dengan
sebaiknya," katanya kepada Bernama.
 
Beliau turut kecewa terhadap tindakan sesetengah pekedai yang cuba mengambil kesempatan menawarkan pembelian makanan menggunakan baucar BB1M yang jelas sekali jauh tersasar daripada niat murni kerajaan mengurangkan beban mahasiswa dalam urusan pembelajaran.
"Saya berharap supaya kerajaan melihat balik senarai kedai yang beroperasi menerima BB1M ini supaya ia tidak disalahgunakan segelintir pihak yang tidak bertanggungjawab," katanya.
 
Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar Universiti Malaya (MPPUM) Izham Ismail turut menasihati mahasiswa supaya bijak menggunakan BB1M dengan cara membeli buku akademik dan keperluan pembelajaran yang berkaitan.
"Sebagai seorang mahasisiwa yang berwawasan kita harus menghargai pemberian kerajaan ini dengan menggunakannya untuk keperluan yang betul-betul diperlukan sahaja supaya apa yang kita perolehi dapat dimanfaatkan dengan betul," katanya.
Lebih 1.3 juta pelajar yang sedang menuntut di institusi pengajian tinggi (IPT), matrikulasi dan Tingkatan Enam menerima Baucar Buku 1Malaysia (BB1M) melibatkan peruntukan tambahan ditanggung kerajaan sebanyak RM325 juta.
Beberapa mahasiswa yang ditemui Bernama pula bagaimanapun tidak bersetuju sekiranya BB1M dihadkan kepada bahan bacaan ilmiah sahaja kerana keperluan mahasiswa melebihi lingkungan itu.

Pelajar Perubatan Universiti Malaya Nur Sakinah Abd Razak, 23, berkata penuntut universiti bukan sekadar bergantung kepada buku ilmiah semata-mata sebaliknya ada sesetengah kursus memerlukan peralatan khas bagi menjayakan projek akhir.
"Saya berasa lega dengan pengumuman kerajaan menaikkan BB1M daripada RM200 kepada RM250, namun jika penggunaanya dihadkan, ia dirasakan seperti menyekat kebebasan mahasiswa untuk membuat pilihan semasa menggunakan baucar BB1M ini," katanya.
Pelajar Diploma Teknologi Animasi Kolej Antarabangsa Yayasan Melaka Norashikin Mad Isa, 21, berkata BB1M yang diperuntukkan kerajaan tidak perlu dipersoalkan had penggunaannya sebaliknya bergantung kepada inisiatif mahasiswa itu sendiri untuk memanfaatkan dengan cara betul.

Pelajar Pengurusan Pendidikan Universiti Antarabangsa UNITAR Norliana Muhammad, 22, berkata tidak salah sekiranya menggunakan baucar BB1M untuk membeli bahan bacaan selain daripada bahan ilmiah seperti novel kerana ia juga salah satu penyumbang idea yang kreatif kepada pembaca.
"Hanya 30 peratus sahaja yang digunakan untuk membeli selain daripada bahan ilmiah," katanya

0 komen:

Catat Ulasan