0htehtarik - sumber rujukan percuma dan terkini

Raja kunci mulut

| Khamis, 28 Mac 2013

PENGENDALI Harimau Malaya, Datuk K. Rajagobal 'mengunci mulut' berhubung kontroversi yang melanda dirinya.
Rajagobal bakal disiasat mengikut Artikel 88 Statut FAM selepas mengkritik saingan Liga Malaysia (Liga M) sejurus menyaksikan skuad negara tewas 1-4 kepada Arab Saudi pada aksi persahabatan di Stadium Shah Alam, 17 Mac lalu.
Bekas jurulatih Selangor itu didakwa mengeluarkan kenyataan mengenai lambakan penyerang import antara punca skuad negara tidak memiliki penyerang tempatan berwibawa.
Rajagobal berkata, beliau lebih berminat untuk memberikan perhatian kepada persiapan skuad kendaliannya bagi menghadapi aksi kelayakan Piala Asia 2015.
 
Begitupun, pengendali berusia 57 tahun itu tetap tenang kerana beliau masih belum menerima sebarang surat pertuduhan dari pihak Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).
"Saya tidak boleh memberikan sebarang komen kerana saya masih tidak menerima surat (pertuduhan dari FAM).
"Buat masa ini, saya hanya mahu menumpukan persiapan skuad negara berbanding isu ini," katanya kepada pemberita ketika ditemui di Wisma FAM Kelana Jaya semalam.
 
Kosmo! kelmarin melaporkan, Rajagobal dijangka berdepan hukuman sama ada direhatkan atau dipecat daripada mengendalikan Harimau Malaya selepas didakwa mengkritik Liga Malaysia.
Pengerusi Jawatankuasa Tatatertib FAM, Datuk Taufek Razak mengesahkan bahawa ketua jurulatih skuad negara itu akan disiasat mengikut Artikel 88 berdasarkan kenyataan tersebut.
Katanya, surat pertuduhan akan dikemukakan kepada Rajagobal selewat-lewatnya pada minggu depan.
Sekiranya didapati bersalah, Rajagobal dijangka akan dipecat atau direhatkan oleh FAM yang mana beliau tidak akan dapat mengemudi skuad kendaliannya masih beraksi dalam kempen kelayakan Piala Asia 2015.
Antara yang pernah berdepan hukuman atas kesalahan melanggar Artikel 88 termasuk Timbalan Presiden FAM, Tan Sri Annuar Musa, Presiden Persatuan Bola Sepak Perlis, Datuk Seri Shahidan Kassim dan Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim.
 
Skrip yang sama juga pernah menimpa bekas jurulatih negara, B. Sathianathan yang digantung mengikut artikel berkenaan ekoran mengkritik saingan liga tempatan pada 2009.
Untuk rekod, Harimau Malaya yang tunduk 0-2 kepada Qatar di Doha (6 Februari lalu) dan menang 2-1 terhadap Yemen di Stadium Shah Alam (22 Mac lalu) berada di tangga ketiga Kumpulan D dengan mengutip tiga mata.
Skuad negara bakal berdepan Bahrain di laman sendiri untuk aksi ketiga kelayakan Piala Asia 2015 pada 15 Oktober depan.

0 komen:

Catat Ulasan