0htehtarik - sumber rujukan percuma dan terkini

Piala FA 213 - Perlawanan Pahang, Johor DT ditunda sebab stadium lebih muatan

| Selasa, 28 Mei 2013

Kuantan: Perlawanan separuh akhir kedua Piala FA antara Pahang dan Johor Darul Takzim (DT) malam tadi terpaksa dibatalkan selepas berlaku kekecohan penonton yang menyaksikan lebih 7,000 penyokong membanjiri trek Stadium Darul Makmur, dan beberapa orang tercedera akibat balingan objek keras.

Limpahan penonton berlaku selepas stadium berkapasiti 35,000 itu dibanjiri lebih 42,000 penyokong dari kedua-dua pasukan mengakibatkan pihak keselamatan terpaksa menangguhkan sepak mula bagi meleraikan penonton berhampiran padang.
Sultan Pahang yang juga Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Sultan Ahmad Shah serta Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Pahang (PBNP), Tengku Abdul Rahman Sultan Ahmad Shah turun mencemar duli untuk bertanyakan situasi sebenar kepada pegawai perlawanan selain turut bertemu beberapa penyokong Tok Gajah yang duduk di atas trek.


Terlalu hampir dengan padang

Berdasarkan peraturan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA), setiap perlawanan tidak boleh dilangsungkan andai ada penonton yang duduk terlalu hampir dengan padang kerana dibimbangi bakal mencetuskan keadaan tidak selesa pemain terutama membabitkan keselamatan masing-masing.

Penyokong Johor DT, Salehan Sakiran, 39, yang datang bersama rakannya dari Muar, Johor kesal dengan apa yang berlaku dan menyifatkan ia berpunca daripada kesilapan PBNP kerana menjual tiket melebihi kapasiti stadium.

"Kalau ditanya mengenai perasaan saya sekarang, memang takut kerana kami berada dalam kelompok kecil dan ia pasti mengundang masalah besar buat kami.
"Saya harap perkara sebegini tidak berlaku lagi pada masa depan dan memohon supaya kawalan keselamatan di stadium diperketatkan lagi. Saya lihat tadi sudah ada penyokong Pahang yang cedera dan jika keadaan sebegini berterusan, tidak mustahil lebih ramai lagi yang akan mengalami nasib malang," katanya.

Seorang lagi penyokong Johor DT, Rosli Shariff, 43, berkata, penganjur perlawanan perlu lebih peka soal keselamatan berbanding hanya memikirkan keuntungan semata-mata.

"Keadaan ini akan membahayakan penyokong terutamanya wanita dan kanak-kanak. Kalau itu berlaku, bukankah ia sesuatu yang sangat merugikan. Memang sejak petang tadi, penyokong tuan rumah sudah ramai tetapi saya sama sekali tidak menjangka mereka akan memenuhi tempat duduk hingga ada di antara mereka yang terpaksa duduk di atas trek," katanya.

0 komen:

Catat Ulasan