KUALA LUMPUR 31 Mei - Polis telah mengenal pasti identiti beberapa individu yang bertanggungjawab merancang menggulingkan kerajaan menerusi pergerakan pasukan tentera siber Red Bean Army.
Menurut sumber, sebanyak 30 individu telah dikesan menjadi orang upahan pihak pembangkang untuk melancarkan serangan ke atas kerajaan Barisan Nasional (BN) menerusi blog, laman sosial dan YouTube.
"Identiti lima atau enam daripada jumlah itu telah dikenal pasti sejak lebih seminggu lalu dan pasukan keselamatan percaya akan menangkap mereka dalam tempoh terdekat untuk menghapuskan kegiatan kumpulan ini yang diwujudkan bertujuan memburuk-burukkan kerajaan," katanya kepada Utusan Malaysia hari ini.
Sumber berkata, walaupun pada awalnya beratus-ratus akaun Facebook dikesan menjalankan kegiatan itu sehingga menimbulkan kebimbangan rakyat Malaysia, tetapi siasatan polis mendapati itu hanya akaun palsu yang dimiliki oleh 30 individu yang terlibat.
Red Bean Army difahamkan bergerak secara siber yang mempunyai misi menggulingkan kerajaan dengan dibantu oleh pihak tertentu dalam memberi dana dan bantuan kepada mereka.
Untuk rekod, sebelum ini akhbar melaporkan berita mengenai Red Bean Army adalah tentera siber yang dipercayai ditaja oleh DAP yang ditugaskan menyerang mana-mana tokoh politik, perniagaan, ikon hiburan serta sesiapa sahaja yang dilihat mesra BN melalui media alternatif seperti blog, Facebook, Twitter dan YouTube bagi membangkitkan kebencian pengundi Cina.
Selain itu, Red Bean Army didakwa ditubuhkan untuk mencipta penipuan dan memanipulasi fakta dan menyuntik kebencian terhadap kerajaan oleh ahli yang diberi latihan oleh DAP serta dibayar gaji tetap sebanyak RM3,000 sebulan sejak enam tahun lalu.
0 komen:
Catat Ulasan