0htehtarik - sumber rujukan percuma dan terkini

Update isu air Selangor

| Khamis, 10 Januari 2013

Putrajaya: Tindakan kerajaan Selangor mahu mengambil alih Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (SYABAS) bukan jalan terbaik menyelesaikan masalah kekurangan bekalan air di negeri itu. Selain, tindakan itu juga bercanggah dengan syarat perjanjian konsesi ditandatangani SYABAS bersama kerajaan negeri, pada 2004.
Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Peter Chin Fah Kui, berkata walaupun kerajaan negeri mempunyai 30 peratus saham dalam SYABAS, namun mereka tidak boleh memaksa syarikat konsesi itu kecuali mereka bersetuju untuk berbuat demikian.


Malah, saya juga tidak mempunyai kuasa dalam hal ini kerana mereka ada perjanjian konsesi. Jika saya bertindak, saya pula yang akan disaman.

Perkara ini kena buat secara rundingan dan sebab itu kita (kerajaan) berkali-kali memberitahu Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim supaya mengadakan rundingan jika kerajaan Selangor mahu mengambil alih SYABAS, katanya pada sidang media selepas menyampaikan amanat tahun baru kepada warga Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (KeTTHA) di sini, semalam.

Hadir sama, Ketua Setiausaha KeTTHA, Datuk Loo Took Gee dan Ketua Pegawai Eksekutif Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN), Datuk Teo Yen Hua.

Kelmarin, Abdul Khalid dilaporkan berkata, krisis bekalan air yang menjejaskan hampir setengah juta pengguna di Lembah Klang mewajarkan perjanjian konsesi dengan SYABAS ditamatkan segera bagi membolehkan kerajaan negeri campur tangan dalam operasi air serta mengambil alih syarikat itu.
Gangguan bekalan air di beberapa kawasan di Lembah Klang berlaku berikutan pengurangan kadar pengepaman air dari Rumah Pam Wangsa Maju sebanyak 30 juta liter sehari (JLH) bagi mengelakkan kerosakan berulang akibat lebihan bebanan.

Sementara itu, Fah Kui berkata, krisis air itu perlu dihentikan segera melalui kerjasama kerajaan persekutuan, kerajaan negeri dan SYABAS, sekali gus mengelakkan kesusahan yang dihadapi rakyat berpanjangan.

Hentikanlah menyalahkan SYABAS dan kerajaan persekutuan, katanya.

Terdahulu, beliau menyampaikan sumbangan RM8,600 daripada warga kementeriannya kepada wakil Aman Palestin, Awang Suffian Awang Piut.

Sementara itu, Yen Hua berkata, masalah gangguan air di Lembah Klang boleh diatasi selewat-lewatnya, Isnin ini selepas pihaknya bersetuju dengan cadangan SYABAS untuk melaksanakan kerja pemasangan paip pintasan bagi membolehkan air dibekalkan dari Kolam Air Dusun Kubong ke Kolam Sedut AU3 Baru dan AU3 Lama.

0 komen:

Catat Ulasan