0htehtarik - sumber rujukan percuma dan terkini

Kenapa kereta 1,500cc mahal?

| Selasa, 11 Jun 2013

KUALA LUMPUR 11 Jun - Harga kereta popular yang dikeluarkan di negara-negara ASEAN dengan kapasiti enjin di bawah 1,500cc di pasaran tempatan sepatutnya lebih murah kerana duti eksais yang dikenakan oleh kerajaan Malaysia hampir setara dengan duti yang dikenakan di negara jiran, Thailand dan Indonesia.
Secara purata, duti eksais yang dikenakan ke atas model-model popular berkenaan adalah kira-kira 40 hingga 50 peratus di negara ini, manakala di Thailand dan Indonesia cukai yang sama antara 30 hingga 50 peratus.
Menurut sumber industri, misalnya, sepatutnya harga kereta-kereta berkenaan di Malaysia secara kasarnya hanya lebih RM5,000 daripada harga model yang sama di Thailand.
Bagaimanapun, semakan Utusan Malaysia di laman web rasmi jenama kereta-kereta berkuasa 1,500cc di negara ini menunjukkan lebihan harga antara RM17,000 hingga RM19,000 jika dibandingkan dengan harga kereta di Thailand.

"Contohnya di Thailand, selain dikenakan duti antara 30 hingga 50 peratus berkenaan, pengeluar turut perlu membayar cukai jualan serta cukai pihak berkuasa tempatan (PBT) dan di Malaysia pula, cukai jualan adalah 10 peratus.
"Jumlah duti yang dikenakan kepada pengeluar hampir sama (untuk model 1,500cc dan ke bawah) tetapi harga akhir kereta di negara ini menunjukkan jurang yang agak tinggi," kata sumber itu.
Menurut sumber itu lagi, tahun lepas, harga kereta sesetengah model di Indonesia lebih rendah berbanding Malaysia.
Bagaimanapun, pada tahun ini harga sesetengah model itu didapati lebih murah di negara ini walaupun tidak mendapat penurunan duti eksais kerana faktor kemasukan jenama-jenama baharu.
Situasi itu jelas menunjukkan harga kereta di Malaysia boleh diturunkan oleh pengeluar kereta walaupun tanpa penurunan duti eksais.
Mengenai cara penurunan cukai secara drastik, kerajaan pernah melaksanakannya bermula pada 2006 dengan pengenalan Dasar Automotif Nasional (DAN) dengan pengurangan duti import dan duti eksais secara keseluruhan sebanyak 20 hingga 30 peratus untuk sebuah kereta.
Tetapi menurut sumber itu, apa yang berlaku di pasaran tidak sama seperti diharapkan oleh kerajaan kerana harga kereta tidak banyak turun.

Secara purata, pengeluar kereta hanya mengurangkan harga kereta sebanyak lima peratus berbanding 20 hingga 30 peratus yang disasarkan kerajaan.
DAN baharu yang dijangka diumumkan tahun ini diharapkan dapat mewujudkan dasar baharu yang membolehkan industri tempatan terus kompetitif untuk bersaing dengan Thailand terutamanya dari segi harga kereta yang menjadi keutamaan rakyat ketika ini.
Sementara itu, ketika dihubungi hari ini, Ketua Pegawai Eksekutif Institut Automotif Malaysia (MAI), Mohamad Madani Sahari berkata, DAN merangkumi pelan jangka panjang sehingga 2025 manakala untuk jangka pendek iaitu dalam tempoh lima tahun lagi, kerajaan menyasarkan pasaran automotif tempatan mampu bersaing di peringkat serantau.
"Malaysia mengamalkan dasar terbuka 10 tahun lewat dari Thailand dan kita memerlukan sedikit masa untuk mengejar mereka.

"Kita juga menggunakan cara yang sesuai dan dengan dasar sendiri iaitu memberi keutamaan kepada pembangunan industri tempatan.
"Fokus kami adalah membangunkan industri kenderaan cekap tenaga (EEV). Ketika ini sudah beberapa jenama melabur di sini dan kami juga sedang mengadakan perbincangan dengan beberapa syarikat dari Eropah yang turut menyatakan minat bertapak di Malaysia," katanya.

0 komen:

Catat Ulasan