0htehtarik - sumber rujukan percuma dan terkini

Petani terkejut ular sawa dalam kandang

| Ahad, 16 Jun 2013

Pekan: Seorang petani terkejut apabila mendapati seekor anak kambing jenis Boer miliknya yang disangka hilang, sebenarnya ditelan ular sawa batik di FELDA Seri Makmur, dekat sini, kelmarin.

Ramli Awang Busu, 40, atau lebih dikenali sebagai Pak Itam, menyedari ternakannya yang berusia dua bulan ditelan ular sawa sepanjang empat meter, kira-kira jam 12 tengah hari.
Dia menyedari kejadian itu apabila pergi ke kandang kambing untuk melepaskan ternakan itu ke sekitar kebunnya.


Dia mempunyai 12 ekor kambing yang dibela dalam kandang itu.

"Saya terkejut apabila mendapati seekor ular sawa berada dalam kandang sambil dikelilingi kambing.

Tak mampu gerak

"Selepas mengira, saya dapati kambing jenis kacukan Boer kurang seekor dan apabila diperhatikan betul-betul saya lihat badan ular sawa itu besar kerana menelan seekor kambing," katanya ketika ditemui di sini.
Ramli berkata, ular sawa jenis batik itu kelihatan tidak mampu bergerak kerana kekenyangan selepas menelan anak kambing Boer seberat kira-kira 13 kilogram.

"Saya percaya ular sama turut membaham dua ekor kambing saya beberapa bulan lalu," katanya.

Ramli yang memelihara kambing sebagai kerja sampingan sejak beberapa tahun lalu, berkata dia sudah mengambil langkah keselamatan dengan memasang dawai dan jaring di sekeliling kandang setinggi kira-kira dua meter untuk mengelak daripada musuh ternakan seperti anjing liar dan ular.

"Saya pelik macam mana ular sawa boleh masuk ke dalam kandang kambing kerana semua langkah keselamatan sudah diambil," katanya.

Ramli enggan membunuh ular sawa itu, sebaliknya bercadang melepaskan semula reptilia itu jauh ke dalam hutan bagi memastikan ia tidak datang semula ke kandangnya itu.

0 komen:

Catat Ulasan