0htehtarik - sumber rujukan percuma dan terkini

Lotus lancar model baru Julai

| Ahad, 16 Jun 2013

Group Lotus Plc (Lotus), anak syarikat milik penuh PROTON Holdings Bhd, akan melancarkan varian baru model kereta sport keluarannya bulan depan.

Ia sebahagian daripada strategi pemulihan dan pengembangan perniagaan pengeluar kereta sport yang berpangkalan di Norwich, United Kingdom itu.
Pengerusi Eksekutif PROTON, Tan Sri Mohd Khamil Jamil, berkata Lotus yang menjalani proses pemulihan dan peningkatan sejak satu setengah tahun lalu kini menampilkan banyak peningkatan dari segi kualiti dan produknya.


Beliau berkata, varian baru itu yang dibangunkan oleh pasukan sama yang membangunkan model roadster keluaran syarikat itu dijangka menjadi model yang akan memberi impak besar terhadap imej kereta Lotus.

"Ia bukan dari segi jumlah jualan kerana sifat pasarannya kereta sports yang khusus dan terhad (niche market) tetapi yang lebih penting dari segi kesan positifnya terhadap Lotus," katanya pada majlis pelancaran PROTON Preve di Jakarta, baru-baru ini.

Lotus, pengeluar kereta sports berpangkalan di Norwich, Britain, adalah anak syarikat milik penuh PROTON yang juga anak syarikat milik penuh DRB-Hicom.

Tampil varian baru
Mohd Khamil berkata, susulan proses pemulihan dan peningkatan yang dilakukan terhadap Lotus, syarikat itu sudah membatalkan pelan melancarkan lima kereta dalam tempoh lima tahun dan kini mengubah strategi kepada menampilkan varian baru berdasarkan produk sedia ada tetapi dengan teknologi, kualiti, prestasi dan kos lebih baik.

Beliau berkata, hasil pelaksanaan strategi itu setakat ini, Lotus berjaya memperkenalkan model Evora yang ditingkatkan kuasanya dari 280hp kepada 350hp beserta ruang dalaman yang ditingkatkan.

"Buat pertama kali dalam sejarah juga, Lotus menerima tempahan enam unit dari Malaysia dan sebagai penanda aras, di United Kingdom, ia menerima 80 tempahan untuk tempoh lima bulan pertama tahun ini berbanding 70 unit untuk keseluruhan tahun lalu," katanya.

Mohd Khamil berkata, selain sedang membangunkan varian lain untuk Evora, Lotus juga sedang berusaha untuk membangunkan varian baru untuk Elise dan Exige selain membangunkan model baru sepenuhnya yang dijangka dilancarkan dalam tempoh dua atau tiga tahun akan datang.

Beliau berkata, pihaknya menyifatkan adalah mustahil untuk mengeluarkan satu model kereta baru setiap tahun di samping pihaknya juga perlu mengambil kira kosnya yang amat tinggi.

"Bagi saya ia mustahil dan dari segi realistiknya, tiada syarikat pengeluar kereta boleh berbuat sedemikian. Justeru, lebih baik membangunkan model baru secara perlahan-lahan kerana ia boleh mengurangkan kos berbanding membangunkannya dalam tempoh singkat," katanya.

0 komen:

Catat Ulasan