0htehtarik - sumber rujukan percuma dan terkini

Kejutan Top 5

| Rabu, 9 Januari 2013

Keputusan Top 5 Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) 2012 yang diumumkan di Hotel Holiday Villa & Suites, Subang Jaya, semalam cukup mengejutkan. Selain menyaksikan ramai muka baru yang membolosi senarai calon akhir, ada nama besar termasuk pemenang tahun lalu tidak tersangkut kali ini.
 
Antara artis popular yang gagal menempah tempat tahun ini ialah Remy Ishak, Rozita Che Wan dan Tiz Zaqyah. Lebih mengejutkan, pemenang kategori Artis Baru Wanita Popular ABPBH lalu, Tasha Shilla; dan Pelakon TV Lelaki Popular, Fizz Fairuz, turut gagal menembusi senarai Top 5. Kegagalan Tasha dan Fizz menimbulkan persoalan apakah populariti mereka mula merudum?


Senarai Top 5 APBPBH 2012 kali ini turut menyaksikan beberapa muka baru seperti Nabila Huda, DJ Lin, Jepp Sepah dan Jihan Raja Lawak dicalonkan antara lima kelompok artis popular dalam pelbagai kategori.

Selain itu, kembali menjadi calon ABPBH edisi ke-26 ialah artis serba boleh, AC Mizal, yang agak lama menyepi dari pentas anugerah ini.

Persoalannya, andai benar populariti artis yang tidak dicalonkan ke akhir kali ini merosot, apakah ia bermakna perhatian peminat sudah beralih arah?

Seperti yang diketahui, dunia hiburan tanah air tidak pernah sunyi dengan kehadiran artis baru yang lebih segar dan berbakat. Namun, itulah lumrah dunia hiburan kerana apa yang berlaku tidak ubah seperti roda yang berputar.
Penangan lima calon baru

Berbicara soal populariti, diakui tidak semua artis yang pernah dicalonkan dalam ABPBH sejak 26 tahun penganjurannya mengecapi populariti seperti roket. Ada segelintir artis dilihat tak perlu berpenat lelah membuktikan bakat, sebaliknya hanya bersandarkan kepada gosip tetapi melepasi senarai Top 5.

Namun, biar apapun alasan mengaitkan artis popular tersingkir daripada menjadi calon Top 5, apa yang dialami lima artis yang menghiasi muka depan HIP ini agak berbeza.

Bukan tiada gosip yang menghimpit diri mereka, cuma kejayaan membolosi peringkat akhir pencalonan ABPBH 2012 lebih kepada bakat hasil kerja masing-masing.

Artis kelahiran Kota Singa, Shah Iskandar, ialah antara artis yang berjaya bergelar finalis tetapi bukan dengan jalan mudah. Lebih tiga tahun menceburkan diri dalam bidang seni dan bermula dengan peringkat bawah, akhirnya jejaka ini berjaya menempatkan diri dalam kategori artis baru popular.

Jujur saya akui pernah terdetik dalam hati untuk berada dalam kelompok ABPBH. Bagi saya, populariti itu memang penting terutama dalam membantu kerjaya seseorang artis.

Bagi saya, sama ada seseorang itu popular kerana kontroversi atau hasil kerjanya, ia bukan masalah besar. Ini kerana biar apapun, ia tetap membantu menaikkan nama artis, katanya.

Gosip berkasih dengan Rozita lonjak nama?

Ditanya apakah kejayaannya membolosi senarai Top 5 berpunca daripada gosip hubungan cintanya dengan pelakon Rozita Che Wan, Shah tidak menafikan perkara itu.

Seperti yang saya katakan tadi, gosip juga memainkan peranan penting untuk mempopularkan seseorang artis. Tapi saya percaya hasil kerja saya dalam dunia lakonan juga banyak membantu sehingga berjaya mengumpul peminat tersendiri, yang sentiasa menyokong kerjaya seni saya, katanya yang mempunyai kelab peminat bernama Shah Iskandarriffic.

Mengakui agak terkejut apabila diberi peluang duduk di kerusi finalis edisi terbaru ABPBH selepas lebih 12 tahun berkecimpung dalam arena seni, Nabila Huda berterima kasih atas kepercayaan peminat yang mengundinya untuk menjadi calon akhir Pelakon TV Wanita Popular.

Nabila mengakui dia sukar menggambarkan perasaan sebaik diumumkan sebagai Top 5 kerana inilah kali pertama dicalonkan ke peringkat akhir. Sehubungan itu, Nabila enggan meletakkan harapan.

Terima kasih kepada pengundi. Pencalonan ini cukup bermakna walaupun baru sekarang saya berada dalam senarai Top 5. Ini bermakna, secara tidak langsung penonton menilai hasil lakonan saya.

Sebelum ini, biarpun tidak berada dalam Top 5, saya tetap memberi sokongan kepada ABPBH. Cuma mungkin nanti perasaannya berbeza apabila kali ini saya hadir sebagai finalis, katanya yang bersaing dengan Fasha Sandha, Izara Aishah, Neelofa dan Siti Saleha dalam kategori berkenaan.

Izzue akui saingan hebat

Lelaki berkulit putih dan bermisai yang juga anggota kumpulan remaja Forteen ini tidak menyangka namanya berjaya membolosi senarai akhir ABPBH 2012.

Memang pada awalnya saya tidak menaruh harapan. Tetapi rupa-rupanya saya tercalon namun tidak mahu terlalu memikirkannya. Ini kerana saingan hebat-hebat belaka.

Mungkin ini disebabkan produk saya yang mereka gemari, ujar Izzue Islam yang dicalonkan dalam kategori Artis Baru Lelaki Popular bersama Shah Iskandar, Taiyudin Bakar, Jimmy Palikat dan Aiman Hakim Ridza.

0 komen:

Catat Ulasan