0htehtarik - sumber rujukan percuma dan terkini

Liga Malaysia - Angkara penyokong & komando Johor

| Rabu, 16 Januari 2013

PERSATUAN Bola Sepak Kelantan (KAFA) dan Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) bakal berdepan hukuman daripada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).
Ia gara-gara kekecohan yang ditimbulkan oleh penyokong pasukan Kelantan dan Terengganu malam kelmarin.
 
Di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu, pihak polis terpaksa mengiringi kira-kira 200 penyokong Johor Darul Takzim (DT) masuk ke kawasan padang apabila segelintir peminat Kelantan bertindak membaling botol minuman sejurus tamat perlawanan.
Perlawanan yang berkesudahan Kelantan dan Johor DT seri 1-1 itu turut dicemari dengan insiden membaling mercun dan bom asap berhampiran kawasan padang.
 
Di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu, segelintir penyokong Terengganu pula gagal mengawal perasaan apabila bertindak membaling botol minuman kepada penjaga garisan, Mohd. Fazli Ishak.
Difahamkan, tindakan mereka itu disebabkan tidak berpuas hati dengan beberapa keputusan pengadil perlawanan. Dalam aksi tersebut, Terengganu tewas 1-2 kepada Selangor.
Diminta mengulas insiden di Kota Bharu dan Kuala Terengganu itu, Setiausaha Agung FAM, Datuk Azzuddin Ahmad berkata, pihaknya akan mengambil tindakan susulan terhadap KAFA dan PBSNT yang dilihat gagal mengawal penyokong masing-masing.
"Buat masa ini, (pegawai pertandingan) di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah sudah mengemukakan aduan rasmi. Bagaimanapun, FAM masih belum menerima sebarang laporan daripada Stadium Sultan Muhammad IV.
 
"FAM akan memutuskan bentuk hukuman selepas mendapatkan laporan penuh dari pegawai pertandingan dengan meneliti setiap bukti," kata Azzuddin semalam.
Dalam perkembangan lain, kehadiran Askar Timbalan Setia Negeri Johor (JMF) di Stadium Sultan Muhammad IV turut mendapat perhatian FAM.
Kehadiran JMF yang lengkap bersenjata jelas mengundang perasaan kurang senang penyokong Kelantan.
Ini kerana Johor DT tampil tanpa kehadiran JMF ketika menentang Pahang di Stadium Darul Makmur, Kuantan pada 8 Januari lalu.
 
Bagaimanapun Azzuddin menjelaskan, FAM akan menyiasat perkara itu sebelum membuat sebarang keputusan.
"FAM telah menerima aduan tidak rasmi mengenai perkara tersebut tetapi kami akan menyiasat terlebih dahulu," ujarnya.

0 komen:

Catat Ulasan