JAGUH perseorangan negara, Datuk Lee Chong Wei mengambil pendekatan berhati-hati menjelang pertembungan menentang pemain Thailand, Boonsak Ponsana pada aksi pusingan kedua Kejohanan Badminton Siri Super Terbuka Malaysia 2013 di Stadium Putra, Bukit Jalil hari ini.Chong Wei berkata, dia tidak mahu memandang rendah kemampuan mana- mana pemain yang akan dihadapinya.
Sebaliknya, dia mahu fokus kepada persiapan diri sendiri bagi menghadapi segala kemungkinan yang bakal berlaku dalam setiap perlawanan.
"Saya hanya fokus terhadap persiapan diri sendiri. Jika mahu bercakap mengenai taktikal, ia hanya akan diketahui pada perlawanan sebenar sahaja.
"Boonsak seorang pemain yang baik. Saya tidak boleh meramalkan corak permainannya kerana adakala dia beraksi dengan baik dan adakalanya tidak.
"Namun, saya percaya prestasi saya akan menjadi lebih baik untuk perlawanan kedua esok (hari ini)," kata Chong Wei.
Terdahulu, Chong Wei mengesahkan slot ke pusingan kedua apabila mudah membenam cabaran pemain Denmark, Victor Axelsen 21-8, 21-10 pada aksi pusingan pertama semalam.
"Setakat ini, semuanya berjalan dengan baik. Ia permulaan yang baik kerana saya mahu menyesuaikan diri dengan suasana kejohanan secepat mungkin," kata Chong Wei.
Sementara itu, juara Terbuka Perancis 2012, Liew Daren turut mengikut jejak langkah Chong Wei mara ke pusingan kedua selepas menewaskan pemain India, Ajay Jayaram 21-15, 21-11.
Dia akan berdepan pemenang Sukan Olimpik 2004 di Athens, Taufik Hidayat dari Indonesia pada pusingan kedua hari ini.
Hasrat untuk menyaksikan dua lagi perseorangan negara, Chong Wei Feng dan Mohd. Arif Abdul Latif menempah slot ke pusingan seterusnya tidak kesampaian apabila mereka tewas di tangan lawan masing-masing.
Wei Feng gagal mengulangi pencapaian yang dilakarnya ketika Terbuka Jepun tahun lalu apabila tewas di tangan Kenichi Tago dari Jepun, 15-21, 8-21 manakala Arif tunduk kepada pemain berpengalaman Indonesia, Sony Dwi Kuncoro 16-21, 18-21.
Pemain perseorangan wanita muda negara, Sonia Cheah melakar kejutan apabila mara ke pusingan kedua selepas menewaskan Sayaka Takahashi dari Jepun 15-21, 21-19, 21-18.
Dalam pada itu, empat beregu lelaki negara, Koo Kien Keat-Tan Boon Heong, Goh V Shem-Lim Khim Wah, Gan Teik Chai-Ong Soon Hock dan Hoon Thien How-Tan Wee Kiong mara ke pusingan kedua.
Kien Keat-Boon Heong melakar kemenangan ke atas beregu Indonesia, Yonathan Suryatama Dasuki-Hendra Gunawan 21-15, 21-15; V Shem-Khim Wah menundukkan Rasmus Bonde-Mads Conrad Petersen (Denmark) 23-21, 16-21, 21-11; Gan Teik Chai-Ong Soon Hock membenam cabaran Marcus Ellis-Paul Van Rietvelde (Britain) 15-21, 21-17, 22-20 manakala Thien How-Wee Kiong menewaskan Christian John Skovgard-Mads Pieler Kolding (Denmark) 22-20, 21-19.
Beregu campuran negara, Tan Aik Quan-Lai Pei Jing turut berjaya meloloskan diri dalam kelompok 16 terbaik.
0 komen:
Catat Ulasan