PENDATANG baharu Liga Super, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) membuka tirai Liga Malaysia (Liga M) 2013 dengan penuh bergaya.Malam tadi, skuad The Gladiators itu merangkul Piala Sultan Ahmad Shah selepas menundukkan juara trebel, Kelantan 4-3 menerusi penentuan sepakan penalti pada perlawanan Sumbangsih di Stadium Shah Alam.Sebelum itu, kedua-dua pasukan terikat dengan keputusan seri 1-1. Indra Putra Mahayuddin meledak gol pembukaan Kelantan sebelum tonggak pertahanan ATM, Irwan Fadzli Idrus menyamakan kedudukan pada penghujung babak kedua.
Keputusan seri itu menyaksikan pemenang terpaksa ditentukan menerusi sepakan penalti kerana tiada masa tambahan dilangsungkan.Dalam penentuan sepakan penalti, perancang import The Gladiators, Bruno Marteloto muncul wira apabila menjaringkan gol kemenangan ATM.Terdahulu, Marlon Alex James, K. Reuben dan Rezal Zambery Yahya berjaya menyempurnakan sepakan penalti masing-masing manakala sepakan yang diambil R. Surendren berjaya dinafikan oleh penjaga gol Kelantan, Mohd. Syazwan Yusof.
Kelantan pula memperoleh gol menerusi sepakan penalti yang diambil Mohd. Nor Farhan Muhammad, Obinna Nwaneri dan Mohd. Badhri Radzi.
Mohd. Rizal Fahmi Rosid serta Mohd. Daudsu Jamaluddin pula gagal melaksanakan tugas menyempurnakan sepakan penalti masing-masing.Bagi ATM, kejayaan menjulang Piala Sultan Ahmad Shah malam tadi dianggap mampu menebus kekecewaan mereka selepas tewas 2-3 kepada Kelantan pada aksi final Piala Malaysia musim lalu.Di kem Kelantan pula, kekalahan tersebut dianggap satu permulaan kurang bergaya musim ini selepas skuad The Red Warriors itu tampil cemerlang dengan merangkul gelaran juara Piala Malaysia, Piala FA dan Liga Super musim lalu.
Kekalahan itu juga menyaksikan Kelantan gagal mengulangi kejayaan yang dicapai mereka dengan menjulang Piala Sultan Ahmad Shah selepas membenam Selangor pada edisi 2011.
Musim lalu, Kelantan turut gagal mendapat trofi tersebut selepas tewas 1-2 kepada Negeri Sembilan di Stadium Nasional, Bukit Jalil.
0 komen:
Catat Ulasan