SETELAH setahun menghiburkan para pendengar Suria FM menerusi segmen Ceria Pagi Di Suria pada pukul 5 hingga 10 pagi, jodoh pelakon Kenchana Devi dengan stesen radio tersebut berakhir pada 31 Disember lalu.Bagaimanapun, baru-baru ini tersebar cerita yang mengatakan pelakon berkenaan telah disingkirkan bersama seorang lagi penyampai iaitu Tyzo atau Tuah Zoqarnain.
Berkesempatan menemui Kenchana selepas berakhirnya acara Anugerah Juara Lagu ke-27 di Stadium Putra Bukit Jalil pada Ahad lalu, pelakon itu menafikan dirinya disingkirkan stesen radio berkenaan.
Sebaliknya, Kenchana menjelaskan kontraknya dengan Suria FM sudah berakhir dan dia sendiri yang membuat keputusan untuk tidak menyambung tugas sebagai penyampai di situ.
Kosmo!: Benarkah cerita yang mengatakan penamatan kontrak Kenchana dengan Suria FM diberitahu pada hari terakhir anda bertugas?
KENCHANA: Sebenarnya saya agak terkejut apabila cerita ini dikeluarkan dalam media. Untuk pengetahuan semua, kontrak saya memang tamat pada 31 Disember lalu dan saya sendiri yang ambil keputusan tidak menyambungnya.
Secara jujurnya, saya memang sudah lama bercadang untuk berhenti iaitu sejak dua bulan lalu.
Perkara ini sudah saya bincangkan bersama pihak pengurusan stesen dan mereka menerima keputusan saya ini.
Bagaimanakah cerita tentang penyingkiran anda ini boleh timbul?
Saya sendiri tidak pasti bagaimana perkara ini timbul memandangkan kontrak saya dengan Suria FM pun cuma setahun dan ia kini sudah berakhir setelah dibincangkan lebih awal lagi.
Lagipun tidak ada mana-mana pihak yang menghubungi saya untuk mengetahui perkara sebenar. Kalau ada yang menghubungi saya untuk mendapatkan kenyataan, sudah tentu perkara ini tidak timbul.
Apakah yang menyebabkan Kenchana mengambil keputusan tidak menyambung kontrak dengan Suria FM?
Buat masa ini saya mahu memberikan sepenuh tumpuan kepada syarikat produksi saya iaitu Kanchana Shakti Production Sdn. Bhd. yang sudah tujuh tahun ditubuhkan.
Kini, syarikat saya itu semakin banyak menerbitkan drama dan telefilem dan sudah tiba masanya saya memberikan tumpuan sepenuhnya, selain meneruskan kerjaya sebagai pelakon.
Adakah Kenchana tidak rindu setelah tidak lagi menjadi penyampai radio?
Sudah tentu saya rindu terutamanya para pendengar yang banyak memberikan maklum balas yang positif. Tidak dinafikan ramai yang terkejut apabila saya mengundur diri dan tidak lagi menjadi penyampai radio.
Apakah pengalaman yang Kenchana dapat sepanjang setahun bersama Suria FM?
Boleh dikatakan banyak benda yang saya pelajari serta dapat meluaskan lagi pengetahuan tentang pelbagai perkara yang berlaku. Bertugas sebagai penyampai radio, saya perlu tahu situasi terkini yang berlaku dan memerlukan saya membuat kajian sebelum ke udara.
Selain itu, saya juga dapat berkomunikasi terus dengan pendengar dan paling menarik, dapat mengajar mereka bahasa Tamil.
Kalau ada peluang lagi, adakah Kenchana tidak teringin untuk menjadi penyampai radio semula?
Keinginan untuk menjadi penyampai radio itu memang ada, malah bos saya di Suria FM iaitu Adiwati Zainuddin telah melayan saya dengan baik dan mengalu-alukan sekiranya saya berhasrat untuk kembali semula.
0 komen:
Catat Ulasan