Usia adalah anugerah yang begitu berharga diberikan Allah SWT kepada manusia. Berganti tahun, semakin bertambahlah umur dan semakin berkurang jangka hayat di dunia.
Setiap detik bertambahnya umur, kita dapat berasakan getaran bahawa ajal semakin menghampiri.
Setiap detik bertambahnya umur, kita dapat berasakan getaran bahawa ajal semakin menghampiri.
Ketika inilah terfikir apakah kita sudah melaksanakan tanggungjawab sebagai hamba Allah.
Firman Allah SWT: "Dan (hendaklah diingat) sesiapa yang kami panjangkan umurnya, kami kembalikan kejadiannya kepada keadaan lemah, hakikat ini memang jelas) maka mengapa mereka tidak mahu memikirkannya?" (Surah Yasin, ayat 68)
Hamba cerdik ialah mereka yang berjuang mengisi umur dengan berbakti kepada Allah SWT untuk menempah kehidupan sejahtera di akhirat.
Bimbang hari tua
Ramai bimbang untuk meniti usia tua dan disebabkan itu, ada wanita sanggup mengeluarkan belanja besar bagi menghapuskan tanda penuaan walaupun tindakan itu ada kalanya boleh merosakkan diri masing-masing.
Usaha ini pada pandangan Islam tidak wajar kerana menghalang sesuatu yang pasti. Bagi yang beriman, peringkat umur ini memang ditunggu-tunggu.
Nabi Muhammad SAW bersabda: "Apabila umur seseorang Muslim mencecah 40 tahun, Allah akan menjauhkan daripadanya tiga jenis bala: gila, kusta dan sopak. Apabila umurnya mencecah 50 tahun, Allah akan meringankan dosa-dosanya. Apabila sampai 60 tahun Allah akan mengurniakan taubat padanya. Apabila sampai umurnya 70 tahun, malaikat di langit akan mengasihinya.
"Apabila umurnya 80 tahun ditetapkan segala kebaikannya dan dihapuskan segala kejahatannya. Apabila umurnya mencecah 90 tahun, diampunkan dosanya yang terdahulu dan yang akan datang, dia dinamakan tawanan Allah di muka bumi serta dia akan mensyafaatkan ahli keluarganya."
Jaminan Allah
Itulah antara jaminan yang dianugerahkan Allah kepada warga tua yang meniti hari-harinya dengan penuh keimanan dan ketakwaan. Antara perkara baik yang boleh dilakukan untuk mendapat anugerah Allah SWT ialah:
Membanyakkan ibadat seperti solat sunat, berzikir, tahlil, tahmid, bertakbir, membaca al-Quran serta tidak mengabaikan ibadat fardu. Semua itu dapat mendekatkan diri dengan Allah selain memberi ketenangan jiwa.
Warga tua yang masih sihat hendaklah berusaha menunaikan solat jemaah di masjid atau surau serta mengqada solat wajib yang tertinggal.
Nabi SAW bersabda: "Sesiapa yang terlupa atau terluput solat hendaklah dia bersolat apabila dia teringat." (Riwayat Anas)
Kurangkan menonton televisyen kecuali rancangan berfaedah kerana hiburan boleh menyebabkan seorang itu lalai dalam menunaikan tanggungjawab.
Sentiasa mengingati mati di samping membayangkan alam barzakh. Tindakan ini begitu berguna untuk kita melipatgandakan ibadat kepada Allah SWT apabila kita mengurangkan angan-angan mencintai dunia.
Sabda Nabi Muhammad SAW: "Banyakkan oleh kamu mengingati yang memusnahkan kesedapan dunia, iaitu mati." (Riwayat at-Tarmizi, an-Nasa'i, Ibnu Majah, Hakam)
Banyak bersabar, sesungguhnya waktu ini pelbagai ujian perlu ditempuh khususnya ketika kudrat kian lemah dengan fikiran terhad.
Firman Allah SWT: "Dan (hendaklah diingat) sesiapa yang kami panjangkan umurnya, kami kembalikan kejadiannya kepada keadaan lemah, hakikat ini memang jelas) maka mengapa mereka tidak mahu memikirkannya?" (Surah Yasin, ayat 68)
Selanjutnya, hadapi kedatangan tahun baru dengan bersyukur kerana umur dipanjangkan Allah SWT serta tekad untuk terus memperbaiki diri menjadi hamba yang sentiasa mendapat rahmat-Nya.
Allah SWT berfirman: "Wahai orang yang beriman bertakwalah kepada Allah dan hendaklah setiap diri memperhatikan apa yang telah diperbuatnya untuk hari esok dan bertakwalah kepada Allah sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan." (Surah al-Hasyr, ayat 18)
0 komen:
Catat Ulasan