0htehtarik - sumber rujukan percuma dan terkini

Strok serang remaja

| Isnin, 10 Jun 2013

Strok intai remaja
Penyakit kardio serang tanpa mengira usia

Mungkin ramai tidak terlintas dalam fikiran, strok boleh menyerang dalam kalangan kanak-kanak dan remaja remaja. Malah ramai tidak mengambil kisah dan sering menganggap, penyakit itu hanya dideritai orang tua atau individu berusia yang tidak aktif serta obes.
Persepsi itu meleset dan tidak tepat. Kini, masalah strok tidak hanya mensasarkan mereka berusia 50 tahun ke atas tetapi turut dihidapi golongan muda. Laporan menunjukkan, 30 peratus remaja di seluruh dunia menderita penyakit berkenaan.

Bukan saja individu berusia 45 tahun ke atas lebih terdedah kepada strok pendarahan, malah yang berusia muda ini juga jangan sesekali menangguh berjumpa doktor." Dr mak Choon Soon, Perunding Neurologi, Pusat Perubatan Gleneagles, Kuala Lumpur.

Kadar kematian disebabkan strok turut dilaporkan akan meningkat hampir dua kali ganda, menjelang 2020 dan ia menjadi penyakit keempat tertinggi di negara ini.

Di Amerika Syarikat pula, mendapati ada kesan peningkatan strok kalangan golongan muda. Laporan menunjukkan kanak-kanak seawal usia 8 tahun diberikan ubat statin jika mereka gemuk. Penggunaan ubat-ubatan statin merendahkan kolesterol dalam badan dan sekali gus mendedahkan mereka kepada risiko lebih besar kepada strok.

Klasifikasi strok

Justeru, impak angin ahmar atau strok seharusnya digeruni. Ia berlaku disebabkan saluran darah membawa zat makanan (nutrien), oksigen ke otak tersumbat dan pecah, seterusnya menyebabkan anggota badan dikawal sel saraf tidak dapat berfungsi.
Bagaimanapun, disebabkan kurang fahaman, ada juga menyangkakan penyakit itu berpunca akibat serangan jantung.

Perunding Neurologi Pusat Perubatan Gleneagles Kuala Lumpur, Dr Mak Choon Soon, berkata penyakit itu juga boleh berlaku akibat tekanan terlampau tinggi pada bahagian otak seterusnya menyebabkan salur darah dalam otak pecah.

"Penyakit ini dikategorikan kepada dua jenis iaitu pembuluh darah (trombus) tersumbat mengakibatkan oksigen dan darah terganggu serta adanya pembuluh darah pecah.

Biasanya strok pendarahan berlaku secara tiba-tiba tanpa isyarat. Ia lebih berbahaya berbanding strok bukan pendarahan kerana serangannya boleh menyebabkan ajal manakala peluang pemulihan sepenuhnya tipis," katanya.

Gejala serangan

Serangan penyakit itu, kata Dr Mak, tidak disedari dan mungkin dianggap sakit biasa. Pening, sakit kepala, sesak nafas, penglihatan kabur dan hidung berdarah antara gejala hipertensi atau tekanan darah tinggi.

Jelasnya, fungsi bahagian berlainan dalam badan dikawal oleh bahagian berbeza dalam otak. Gejala berbeza bergantung kepada bahagian otak terjejas dan pada saiz kerosakan. Gejala yang timbul biasanya termasuk satu atau lebih.

"Antara gejala strok ialah ia terjadi secara tiba-tiba, pesakit terasa kebas sebelah badan sama ada kaki atau tangan, butir percakapan tidak difahami dan sakit kepala teruk atau pening secara mendadak.

"Pesakit juga mungkin mengalami muntah dan tidak seimbang atau stabil ketika berjalan dan nampak keliru. Ia dilabel pembunuh senyap kerana boleh mengakibatkan beberapa komplikasi yang boleh membawa maut seperti serangan jantung dan strok.

"Kecederaan saraf otak serius boleh menjejaskan neurologi (sistem saraf), pergerakan, pertuturan, watak, penglihatan, pendengaran mahupun memori. ia juga mengakibatkan pesakitnya mengalami masalah dimentia iaitu kemerosotan dalam fungsi kognitif akibat kecederaan atau penyakit pada otak," jelasnya.

Risiko boleh dielakkan

Dr Mak berkata, kehidupan remaja yang tidak sihat berkecenderungan mengundang penyakit berbahaya ini dan menyerang secara senyap termasuk menerusi jangkitan virus. Oleh itu amalan pola sihat amat penting bagi mengelakkan serangan maut itu.

Bersenam boleh mengembalikan kesihatan dan cukup sekadar melakukan beberapa aktiviti fizikal sederhana pada hari biasa sekurang-kurangnya 30 minit.
Tidak mustahil juga risiko penyakit lain seperti diabetes. Jika mempunyai diabetes, rawatan untuk menyimpan gula dalam darah anda dengan seberapa normal yang mungkin adalah penting.

"Pastikan tekanan darah diperiksa sekurang-kurangnya sekali setahun. Jika tinggi, ia boleh dirawat. Tekanan darah tinggi biasanya tidak menyebabkan gejala, tetapi boleh merosakkan arteri," jelasnya.

Jangan tangguh

Katanya, individu diserang strok perlu dihantar ke bahagian kecemasan selewat-lewatnya empat jam jika ada tanda-tanda supaya doktor boleh membuat pemeriksaan. Satu daripada perkara penting pastinya tahap kesedaran pesakit untuk elak keadaan bertambah parah.

"Jika pesakit diserang strok dan jatuh koma peluang mungkin sukar. Bukan saja individu berusia 45 tahun ke atas lebih terdedah kepada strok pendarahan, malah yang berusia muda ini juga jangan sesekali menangguh berjumpa doktor.

"Doktor biasanya boleh mendiagnosis strok daripada gejala yang biasa dialami pesakit. Ujian biasa dilakukan termasuk imbasan otak. Ini bagi menentukan jenis strok dan menentukan menyebabkan strok atau mungkin menyerupai gejala sama.

"Remaja yang diserang juga akan menjalani proses seperti ujian darah untuk memeriksa paras gula di dalam darah dan kolesterol serta ujian X-ray pada dada dan ECG untuk mengesan jantung atau paru-paru," katanya.

INFO: Faktor penyebab strok:

* Trauma.

* Penyakit salur darah dalam otak:
a) Salur darah boleh rosak (aneurysm). Seperti belon, ia mengembang dan pecah.
b) Vasculitis (jangkitan pada salur darah).
c) Kongenital (sejak lahir).

* Masalah Arterio-Venous Malformation (AVM) iaitu gumpalan saluran darah yang tidak normal dan tidak mempunyai kapilari di antara arteri dan vena.

* Pesakit mengambil ubat pencair darah seperti pesakit jantung/ menagih kokain.

* Amylodysis - penyakit golongan yang biasanya berusia 75 tahun ke atas disebabkan salur darah mudah pecah.

* Kanser dalam otak menyebabkan pendarahan.

Masalah yang mungkin berlaku:

* Masalah dengan keseimbangan dan penyelarasan.

* Masalah untuk menelan makanan. Dalam kes tertentu, ia boleh membahayakan kerana makanan mungkin memasuki hujung salur udara dan tidak turun ke tekak apabila anda makan.

* Kesukaran dengan proses mental. Sebagai contoh, mengalami kesukaran dalam pembelajaran, tumpuan mahupun mengingat.

* Emosi terjejas. Berikutan strok, sesetengah orang mungkin menangis atau ketawa pada masa tertentu tanpa alasan jelas.

Jenis ujian yang diperlukan:

Tahap sedar pesakit akan menentukan rawatan susulan yang dijalankan selain usia dan jenis penyakit lain mungkin dihadapi pesakit. Ada dua jenis rawatan iaitu rawatan perubatan dan rawatan pembedahan.

* Untuk pesakit muda dengan tahap kesedaran kurang dan saiz pendarahan besar, pembedahan mungkin perlu dilakukan selain merawat punca.

* Pembedahan biasanya dilakukan untuk membuang darah beku dan mengurangkan tekanan di dalam otak.

* Serangan strok juga boleh dirawat secara perubatan seperti menjalani fisioterapi tapi mengambil masa lama untuk pulih kira-kira setahun.

* Bagaimanapun, pesakit tidak pulih 100 peratus kerana ketika berlaku pendarahan, bahagian otak terbabit mengalami kerosakan. Walaupun pembedahan dilakukan, bahagian mengandungi darah beku itu sudah terjejas.

* Tidak seperti organ lain, otak tidak mempunyai kemampuan sembuh sendiri. Terapi rehabilitasi penting bagi memulihkan pesakit yang mengalami strok

0 komen:

Catat Ulasan