0htehtarik - sumber rujukan percuma dan terkini

Terengganu beri tumpuan Bahasa Inggeris, Sains mulai tahun depan

| Sabtu, 29 Disember 2012

KUALA TERENGGANU - Bermula tahun hadapan, kerajaan negeri Terenggau akan memberi penekanan kepada mata pelajaran Bahasa Inggeris dan Sains kerana dua subjek berkenaan merupakan penyebab kegagalan negeri itu mengekalkan kedudukan nombor satu pada peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) tahun ini.
   
Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Sumber Manusia negeri Datuk Ahmad Razif Abdul Rahman berkata arahan telah dikeluarkan kepada Pejabat Pelajaran Negeri supaya memulakan kelas tambahan, kem atau program motivasi dengan penekanan kepada dua mata pelajaran berkenaan.
   
"Begitu juga di peringkat peperiksaaan Penilaian Menengah Rendah (PMR), kita mahu subjek Bahasa Inggeris dan Sains diberi tumpuan utama.
   
"Ada juga cadangan beberapa pihak untuk mengadakan program Bahasa Inggeris berbentuk digital bagi meningkatkan keupayaan pelajar," katanya kepada pemberita di sini hari ini selepas merasmikan Program Jom Ke Sekolah.
   
Ahmad Razif berkata, kerajaan negeri juga telah meluluskan RM11 juta bagi meneruskan Program Pembangunan Negeri Anjung Ilmu.
   
"Kita juga bercadang pada tahun depan (2013) untuk memberi pengiktirafan kepada sekolah yang mencapai 20 peratus A pada UPSR, 10 peratus A (PMR), 5 peratus A (SPM) dan 2 peratus A (STPM)," katanya.  - Bernama

0 komen:

Catat Ulasan