0htehtarik - sumber rujukan percuma dan terkini

Safiq Rahim dan Safee Sali dalam Harimau Malaya masih relevan?

| Selasa, 4 Jun 2013

Johor Bahru: Ketua jurulatih Johor Darul Takzim (DT), Fandi Ahmad menganggap kehadiran Safiq Rahim dan Safee Sali dalam Harimau Malaya masih relevan walaupun kerap dipinggirkan untuk beraksi bersama skuad bimbingannya di Liga Malaysia (Liga-M).

Fandi berkata, keputusan jurulatih kebangsaan, Datuk K Rajagobal memanggil Safee dan Safiq untuk menyertai latihan dan perlawanan persahabatan di Australia tentunya bagi memperkuatkan skuad Harimau Malaya.
"Setiap jurulatih ada perancangan taktikal dan mungkin kerana keperluan itu Rajagobal memanggil Safee dan Safiq menyertai latihan bersama skuad kebangsaan," katanya ketika dihubungi, semalam.


Pendedahan berguna

Bagaimanapun, Fandi berkata, apa yang lebih penting pendedahan yang diraih kedua-dua pemain itu bersama skuad kebangsaan di Australia cukup berguna buat Johor DT yang akan berdepan baki empat aksi Liga Super dan final Piala FA.

"Saya tidak ketepikan Safee dan Safiq, sebaliknya mereka ada dalam senarai 18 pemain dalam setiap perlawanan yang diharungi malah itu adalah taktikal yang saya rancang.

"Kedua-dua pemain itu turut beraksi ketika aksi separuh akhir menentang Pahang, tempoh hari dan khidmat mereka digunakan pada babak kedua sebagai pemain gantian," katanya ketika dihubungi, semalam.
Beliau berkata, Safee baru pulih dari kecederaan dan masih belum memiliki keyakinan diri sekali gus membolehkan pemilihannya akan memberi lebih pendedahan kepadanya untuk kembali menemui sentuhan penyudah.

Selain Safee dan Safiq, pemain skuad Harimau Selatan yang turut tersenarai menjalani latihan dan perlawanan persahabatan bersama skuad kebangsaan di Australia ialah Nurul Azwan Roya, Norshahrul Idlan Talaha dan Aidil Zafuan Abd Radzak.

Fandi berkata, pemain Johor DT akan kembali menjalani latihan bermula petang esok sebaik diberi rehat selama empat hari selepas mengharungi jadual kempen Liga Malaysia (Liga M) yang padat dan separuh akhir Piala FA.

"Semua pemain kecuali yang terbabit dengan skuad kebangsaan akan kembali melaporkan diri, petang esok," katanya.

0 komen:

Catat Ulasan