DURBAN, Afrika Selatan - Jurulatih Nigeria, Stephen Keshi menganggap skuad kendaliannya masih dalam proses pembentukan biarpun berjaya mara ke final kempen Piala Negara-Negara Afrika 2013.Awal pagi semalam, anak-anak buah Keshi mengesahkan slot ke pentas final selepas melakar kemenangan 4-1 ke atas Mali pada aksi separuh akhir di Stadium Moses Mabhida.
"Kami dalam proses pembentukan dan saya sedang berusaha untuk membentuk pasukan yang kuat.
"Terdapat banyak bakat serta potensi dalam pasukan ini. Namun, ia akan mengambil sedikit masa untuk menjadikannya sebagai sebuah pasukan yang kuat," kata Keshi sejurus tamat perlawanan.
Pada aksi awal pagi semalam, empat gol Nigeria dijaringkan oleh Elderson pada minit ke-25, Brown Ideye (30), Emmanuel Emenike (44) dan Ahmed Musa (60).
Gol sagu hati Mali pula hadir menerusi jaringan Cheick Mady Diarra pada minit ke-75.
Selepas bermula hambar dalam dua perlawanan awal kempen kali ini ekoran kekalahan di tangan Burkina Faso dan Zambia, skuad Super Eagles itu kini dilihat berada pada landasan tepat untuk merangkul gelaran juara buat kali ketiga.
Menurut Keshi, anak-anak buahnya menghadapi kesukaran dalam dua perlawanan awal itu disebabkan mereka belum menemui keserasian antara satu sama lain selain jadual latihan yang padat ketika melakukan persiapan menghadapi kempen kali ini di Faro, Portugal.
"Kami berdepan sedikit kesukaran pada permulaan kempen kali ini kerana ini merupakan kali pertama kami dikumpulkan bersama.
"Kami bekerja keras di Portugal tetapi saya percaya para pemain berada dalam keadaan keletihan. Jadi, dua atau tiga perlawanan awal akan menjadi sukar buat kami," kata Keshi.
Keshi berkata, perjalanan barisan pemainnya yang ada ketika ini masih jauh bagi menyamai standard yang ditampilkan beliau bersama rakan-rakan sepasukannya.
"Pasukan (Nigeria) yang dibentuk pada 1994 adalah sesuatu yang luar biasa. Kami bagaikan adik beradik dan memiliki semangat juang yang tinggi.
"Ketika ini, ada bakat-bakat yang berkualiti tetapi kami perlu pemain yang memiliki kekuatan mental dan perwatakan tersendiri," kata Keshi.
Sebagai rekod, kali terakhir Nigeria beraksi di pentas final adalah pada edisi 2000 yang mana ketika itu mereka menjadi tuan rumah bersama dengan Ghana.
0 komen:
Catat Ulasan